Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pensijilan Halal Tingkat Keyakinan Pengguna, Buka Peluang Pasaran Global

By 15 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Pensijilan halal kini bukan lagi sekadar memenuhi tuntutan syariah, sebaliknya menjadi penanda aras kualiti dan keselamatan produk yang mampu membuka peluang pasaran global kepada usahawan tempatan.

Presiden HalalPreneur Association Sarawak, Sharifah Noorlaila Wan Mohamad berkata pematuhan standard itu kini menjadi nilai tambah yang meningkatkan keyakinan semua pengguna tanpa mengira latar belakang agama.

“Pensijilan halal bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna Islam, malah menjadi simbol kualiti, kebersihan dan pematuhan kepada standard yang tinggi.

“Pengguna bukan Islam juga semakin yakin terhadap produk halal kerana ia melalui proses kawalan yang ketat,” katanya ketika ditemui pada Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 di Tebingan Kuching, di sini semalam.

Menurut beliau, peningkatan trend permintaan daripada pelanggan bukan Islam yang semakin peka terhadap integriti produk memberi impak positif kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memperluas rangkaian perniagaan.

Sharifah Noorlaila menjelaskan pematuhan berterusan merangkumi aspek dokumentasi, sumber bahan mentah dan latihan pekerja sering menjadi kekangan kepada PMKS, selain faktor kos serta kefahaman proses.

Namun beliau yakin cabaran tersebut mampu diatasi menerusi bimbingan agensi berkaitan dan komitmen tinggi usahawan dalam mengekalkan standard yang ditetapkan.

Tambahnya, platform seperti BIHAS 2026 memainkan peranan penting menghubungkan usahawan dengan pembeli dan pelabur dari dalam serta luar negara, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi halal.

“Halal bukan sekadar sijil tetapi satu nilai yang merangkumi integriti, kualiti dan kepercayaan. Justeru, usahawan perlu sentiasa menambah ilmu, memanfaatkan teknologi digital serta membina rangkaian perniagaan bagi meningkatkan daya saing,” jelasnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda