
Laporan/foto: Diyana Khairron/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai buah-buahan tempatan serta produk agro di bawah satu bumbung sempena Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026 yang berlangsung di Aneka Walk, Shah Alam sehingga esok.
Selain menawarkan jualan buah-buahan bermusim dan gerai makanan, pesta yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai itu turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga antaranya pertandingan lerai jagung, pakaian beragam kanak-kanak, teka berat buah, bida harga buah, Kahoot, Roblox, Badang dan Raja Makan Buah.
Seorang peniaga, Nurul Amira Adhari, 30, berkata penganjuran pesta itu bukan sahaja membantu meningkatkan jualan, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan memperluaskan jaringan perniagaan serta mempromosikan keistimewaan buah-buahan tempatan kepada masyarakat termasuk pelancong asing.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Sejak pukul 10 pagi tadi pengunjung tidak putus-putus datang.
“Lokasi juga sangat strategik berhampiran stesen LRT, dan Aneka Walk ini juga selesa serta terlindung daripada panas serta hujan,” katanya.
Seorang pengunjung, Abdul Wahid Rahib, 67, menyifatkan penganjuran pesta itu memudahkan warga kota mendapatkan pelbagai jenis buah serta produk usahawan tempatan di bawah satu bumbung.
“Buah-buahan yang dijual segar dan harganya berpatutan. Program seperti ini wajar diteruskan kerana memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai jenis buah di satu lokasi,” katanya kepada MalaysiaAktif semalam.
Bagi Uvaraj Raman, 42, buah-buahan tempatan menjadi pilihan kerana khasiat di samping rasanya yang enak.
“Buah-buahan ini untuk kesihatan. Harap program seperti ini diadakan lebih kerap dan masyarakat perlu terus beri sokongan,” katanya.
Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
-AA-




