
Laporan/foto: Krisha Selladurai (Pontian)/MGKK Pontian
PONTIAN, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Aspek kesihatan mental wajar diberikan perhatian dan keutamaan yang sama seperti kesihatan fizikal memandangkan kesejahteraan emosi merupakan asas utama kepada pembentukan individu yang sihat serta berdaya tahan.
Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Daerah Pontian, Iskandar Shah Mohd Ismail berkata pada masa kini ramai individu yang secara luarannya kelihatan ceria dan mampu mengukir senyuman, namun hakikatnya mereka terpaksa memikul bebanan emosi yang berat.
“Justeru, masyarakat perlu bersikap lebih peka, saling menyokong antara satu sama lain dan tidak perlu berasa takut atau segan untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program audio siar Minda Sihat bertajuk Di Sebalik Senyuman: Ada Luka Yang Tidak Kelihatan bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian, hari ini.
Program anjuran bersama PPD Pontian dan MGKK Daerah Pontian itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental, di samping menggalakkan budaya saling menyokong dalam memelihara kesejahteraan emosi.
-AA-




