
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Institusi masjid perlu terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan ummah yang menyeluruh menerusi penglibatan aktif jawatankuasa pengurusan dan masyarakat setempat dalam menghidupkan pelbagai aktiviti berfaedah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata kejayaan sesebuah masjid tidak hanya bergantung kepada pembinaannya, sebaliknya diukur melalui komitmen berterusan komuniti.
“Pembinaan masjid merupakan satu amanah bersama yang perlu diterjemahkan melalui pelbagai pengisian bermanfaat agar ia menjadi pusat ibadah, penyebaran ilmu, kebajikan dan penyatuan masyarakat.
“Tanggungjawab sebenar bermula selepas sesebuah masjid dirasmikan, justeru masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran perlu berganding bahu mengimarahkannya dengan penuh keikhlasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Nahdatul Islam Kampung Melayu Tanjung Bijat, di sini semalam.
Beliau turut menggesa jawatankuasa pengurusan masjid memperluas fungsi institusi itu dengan menganjurkan program seperti majlis ilmu, kelas pendidikan dan latihan kemahiran untuk belia serta suri rumah yang mampu menjana ekonomi keluarga.
Pendekatan holistik itu katanya bukan sahaja memenuhi keperluan rohani, malah menyumbang kepada pembentukan sahsiah, pengukuhan hubungan sosial dan kesejahteraan komuniti.
“Masjid bukan sekadar sebuah bangunan, ia merupakan tempat membina nilai, keluarga dan masyarakat yang akhirnya menjadi asas kepada sebuah negeri yang maju serta makmur,” jelas beliau.
Beliau berharap masyarakat terus memainkan peranan memastikan masjid sentiasa hidup dengan pengisian bermanfaat serta kekal relevan sebagai pusat rujukan untuk semua lapisan masyarakat.
-RJ-




