Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Perkukuh Sistem Bekalan Makanan Labuan

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 26 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan melancarkan Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Wilayah Persekutuan Labuan 2026-2030 bagi memperkukuh sistem bekalan makanan serta mengurangkan kebergantungan Labuan terhadap bekalan luar yang ketika ini mencecah kira-kira 90 peratus.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelan itu merupakan langkah proaktif untuk memperkukuh daya tahan sistem makanan Labuan melalui perancangan yang menyeluruh bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Ketika ini, kira-kira 90 peratus bekalan makanan Labuan dibawa masuk dari Sabah, manakala hanya 10 peratus dihasilkan secara tempatan. Kedudukan Labuan sebagai sebuah pulau menjadikan aspek keterjaminan makanan sebagai satu keutamaan strategik bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi, khususnya ketika berdepan situasi krisis.

“Antara fokus utama pelan strategik ini ialah meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, memperkukuh rantaian bekalan dan logistik, memperluas penggunaan teknologi pertanian moden, menggalakkan penglibatan komuniti serta memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, pemain industri dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Road To MAHA Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2026, di sini semalam.

Mohamad berkata pelan itu diharap dapat mewujudkan sistem bekalan makanan yang lebih mampan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelan strategik ini diterajui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan rentas kementerian itu bertujuan menangani cabaran unik yang dihadapi Labuan dalam aspek bekalan makanan, logistik dan pembangunan ekonomi, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh keterjaminan makanan secara holistik dan bersepadu.

-AA-

Tinggalkan komen anda