Skip to main content
Rencana & Pendapat

Abang Nor Surat Khabar, Empat Dekad Setia Menjual Berita

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sanusi Hassan/Nor Hapi Zaini (Besut)

BESUT, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Di tengah-tengah kemajuan teknologi dan ledakan media sosial yang mengubah cara masyarakat mendapatkan maklumat, seorang peniaga kecil di Kampung Chabang Tiga, di sini, terus teguh mempertahankan tradisi menjual surat khabar yang semakin terpinggir ditelan zaman.

Becrakap kepada Malaysia Aktif baru-baru ini, Mohd Suzanor Salleh, 60, atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Abang Nor Surat Khabar’ berkata beliau telah lebih 40 tahun mencari rezeki menerusi jualan akhbar, menjadikan kerjayanya bukan sekadar pekerjaan, malah satu rutin kehidupan yang dekat dengan masyarakat setempat.

Abang Nor tidak pernah berasa sunyi apabila saban hari disapa pelanggan setia yang terus berkunjung mendapatkan akhbar, malah sebahagian daripada mereka telah menjadi pelanggan sejak lebih tiga dekad lalu.

Antara koleksi akhbar yang dijual di gerai Abang Nor, menjadi pilihan pelanggan yang setia mendapatkan akhbar fizikal.

Setiap hari, Abang Nor akan mendapatkan bekalan akhbar dari sebuah kedai di bangunan Shell Bandar Jertih seawal 3 pagi sebelum memulakan operasi dari 8 pagi hingga 3 petang.

Menurutnya, perubahan teknologi dan kemunculan media digital menyebabkan permintaan terhadap akhbar fizikal semakin berkurangan berbanding suatu ketika dahulu.

“Sekarang sambutan semakin berkurangan sejak adanya Internet dan media sosial. Dahulu orang tiada telefon untuk mendapatkan berita, sekarang semua maklumat berada di hujung jari.

“Namun, saya akan terus berniaga selagi masih ada pelanggan yang datang membeli,” katanya.

Premis kecilnya yang terletak di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Chung Hwa, Jertih, menjadi lokasi persinggahan bagi mereka yang masih memilih untuk membaca berita dalam bentuk cetak.

-RI

Tinggalkan komen anda