
Laporan /foto: Azrul Azham (Jerantut)/JPN Pahang
JERANTUT, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang telah melaksanakan 115 Program Menyemai Kasih rakyat (MEKAR) sehingga 30 Jun lepas.
Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata ia menerusinya, sebanyak 420 permohonan dokumen pengenalan diri direkodkan dengan 1,450 khidmat nasihat disalurkan secara terus kepada masyarakat.
“Pencapaian tersebut meneruskan kejayaan pada tahun 2025 yang menyaksikan sebanyak 216 Program MEKAR dilaksanakan, melibatkan 1,552 permohonan dokumen pengenalan diri serta penyampaian 7,039 khidmat nasihat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program MEKAR Komuniti di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, di sini semalam.
Mengangkat tema Mengimbau Jaman Tori, program tersebut bukan sahaja menggamit nostalgia kehidupan masyarakat terdahulu, malah membawa mesej bahawa dokumen pengenalan diri merupakan warisan identiti utama yang wajib dimiliki dan dipelihara oleh setiap warganegara.
Badrul Hisham berkata pihaknya sentiasa komited untuk turun padang bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam urusan pendaftaran identiti diri.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan penyerahan lima unit MyKad kepada penerima yang terdiri daripada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai simbolik komitmen berterusan JPN dalam menyampaikan perkhidmatan terus kepada rakyat.
-AA-






