
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak 2,306 kes melibatkan kanak-kanak direkodkan di Selangor dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata jumlah itu melibatkan 1,877 kes berkait aspek pemeliharaan dan perlindungan, 366 kes (salah laku jenayah), dan 63 kes (kanak-kanak tidak terkawal).
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan realiti kehidupan anak-anak yang memerlukan perlindungan dan sokongan berterusan. Justeru, usaha pencegahan serta intervensi awal perlu diperkukuhkan secara bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: KASIH Kanak-kanak Selangor 2026 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), di sini semalam.
Program tersebut menghimpunkan 250 peserta daripada 50 sekolah dan institusi tahfiz di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor.
Menurutnya, menerusi program itu peserta didedahkan mengenai hak, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak termasuk isu penderaan, pengabaian, eksploitasi serta ancaman buli di sekolah dan alam siber.
“Kerajaan negeri kekal komited memastikan setiap dasar dan program perlindungan kanak-kanak dilaksanakan berasaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, inklusif dan kondusif,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat menjadi mata dan telinga komuniti dengan segera melaporkan sebarang kes disyaki melibatkan penderaan, pengabaian atau eksploitasi kepada Talian Kasih 15999, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau pihak berkuasa berkaitan.
-AA-




