Skip to main content
Berita TempatanSabah

Taugedil Station Kreatif Pelbagaikan Perniagaan

By 36 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Len (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Jul (MalaysiaAktif)–Semangat mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi antara strategi usahawan Taugedil Station, Siti Nooraliyana Mohd Ali menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, langkah mengusahakan beberapa perniagaan serentak menjadi formula yang membolehkannya terus berkembang sehingga meraih jualan antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari menerusi perusahaan tauhu goreng.

“Perusahaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu ini mampu menjual antara 100 hingga 200 kotak tauhu goreng setiap kali berniaga bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah, sambutan pelanggan sangat menggalakkan. Jika permintaan tinggi, saya boleh menjual sehingga 200 kotak dalam sehari.

“Gerai Taugedil Station beroperasi setiap Sabtu dari jam 3 petang hingga 8 malam di tapak letak kereta Anjung Selera Likas di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif baru-baru ini.

Nooraliyana berkata, beliau tidak lagi bergantung kepada satu perniagaan semata-mata kerana peningkatan kos operasi dan perbelanjaan harian menuntut usahawan lebih kreatif dalam menjana pendapatan.

Selain Taugedil Station, beliau mengusahakan Mi Talam Street di Api-Api Night Market, Bakso Sabah serta sebuah gerai minuman di Putatan bagi memastikan sumber pendapatannya lebih konsisten.

“Kalau hanya bergantung kepada satu pendapatan memang agak sukar. Banyak komitmen perlu ditanggung seperti kos pengangkutan, makanan, sewa dan perbelanjaan harian.

“Sebab itu saya memilih mengembangkan perniagaan supaya ada pendapatan tambahan dan lebih stabil,” ujar anak jati Putatan itu.

Jelasnya, minat dalam bidang keusahawanan bermula kira-kira sembilan tahun lalu selepas menimba pengalaman bekerja di sebuah pusat peranginan lima bintang dan rangkaian restoran makanan segera.

“Pengalaman tersebut menjadi titik permulaan untuk membina perniagaan sendiri selain memperkukuhkan kemahiran melalui pelbagai kursus keusahawanan yang dianjurkan agensi kerajaan,” katanya.

Tambahnya, latihan yang diikuti banyak membantu dari segi penghasilan produk, pengurusan operasi dan pemasaran, manakala bantuan mesin serta peralatan daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pula meningkatkan kapasiti pengeluaran khususnya bagi perusahaan kuih keria yang turut diusahakannya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda