
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Karnival Kepimpinan, Keusahawanan dan Kesejahteraan Keluarga 2026 di Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) menjadi platform untuk memperkasa pelajar dan komuniti menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kepimpinan, keusahawanan serta pembangunan kemahiran.
Pengarahnya Dr. Supa’at Zakaria @ Jawahir berkata karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Johor Bahru itu bertujuan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing selain memberi peluang kepada komuniti mengikuti pelbagai pengisian termasuk pendedahan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
“Kita mahu pelajar memperoleh ilmu dan pengalaman yang bermakna supaya mereka lebih yakin serta mampu mengaplikasikan kemahiran keusahawanan apabila melangkah ke alam pekerjaan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Beliau berharap penganjuran karnival itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan PMJB sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan pelbagai bidang kemahiran serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Sementara itu, Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) PMJB Syazwan Naqib Mohd Sharif berkata program keusahawanan memberi pendedahan awal kepada golongan belia untuk menguasai ilmu perniagaan, membina keyakinan diri serta membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Beliau yang menguruskan dua gerai sepanjang karnival ini berharap penganjuran pada masa akan datang mendapat sambutan lebih meriah dengan penyertaan lebih ramai pelajar bagi menyokong usahawan muda serta menimba pengalaman dalam bidang keusahawanan.
-AA-




