
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Facebook Festival Thurath Islami Selangor
SHAH ALAM, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Festival Thurath Islami Selangor (FTIS) 2026 bakal menghimpunkan puluhan ribu pencinta ilmu menerusi pengisian keilmuan Islam bertemakan ‘Hikmah Warisan Islam’ bermula 13 hingga 20 September ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, festival kali keempat itu berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta beberapa lokasi sekitar Shah Alam sebagai usaha memperkukuh tradisi keilmuan Islam.
Beliau berkata penganjuran festival itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa khazanah turath Islami sebagai asas pembinaan masyarakat berilmu, berakhlak serta berpaksikan nilai Islam yang kukuh.
“FTIS 2026 bukan sekadar program keagamaan, sebaliknya wadah menghidupkan tradisi ilmu sebagai asas pembentukan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya kepada media, di sini hari ini.
Beliau berkata selepas mengangkat beberapa karya ulama tersohor sejak 2023, edisi tahun ini mengetengahkan kitab Al-Hikam Al-‘Ata’iyyah karya tokoh tasawuf terkenal, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari.
Katanya, kitab tersebut menghimpunkan mutiara hikmah mengenai keikhlasan, tawakal serta hubungan seorang hamba dengan Allah, sekali gus menjadi antara karya tasawuf paling berpengaruh di dunia Islam.
Festival itu turut menampilkan tokoh ilmuwan tempatan dan antarabangsa termasuk Ustaz Dr Adi Hidayat, Ustaz Wadi Annuar, Mufti Selangor serta lebih 42 sesi pengajian dan wacana ilmiah.
Selain kuliah dan tausiah, festival berkenaan bakal menganjurkan Musyawarah Ulama Turath Kebangsaan yang menghimpunkan kira-kira 150 ilmuwan Islam bagi membincangkan cabaran serta penyelesaian isu umat semasa.
-FN




