
Oleh: Ramasamy Amas (Jempol)
BAHAU, 23 Jan (Malaysiaaktif) – “Masyarakat Orang Asli perlu mengutamakan pendidikan kerana kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum untuk menimba limu di negara ini. Kerajaan tetap mengamalkan sikap kesamarataan dalam soal pendidikan tanpa mengira bangsa”.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Manickam Letchuman berkata demikian ketika majlis penyampaian sumbangan kewangan kepada 100 masyarakat Orang Asli Jeram Padang di sini, semalam sempena menyambut tahun baharu.
Katanya, ibu bapa perlu bertanggungjawab menghantar anak-anak ke sekolah tanpa alasan dalam memastikan pendidikan anak-anak Orang Asli.
Tambahnya, kerajaan telah menyediakan kemudahan asas seperti air, eletrik, dewan dan jalan tar dalam memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam pembangunan negara.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pra-sekolah di setiap penempatan masyarakat Orang Asli bagi membolehkan anak–anak mereka mendapat pendidikan awal sebelum memulakan alam pesekolahan.
Menurut Pegawai Penyelaras JAKOA Jeram Padang, Nur Azimah Abdullah, pihaknya akan memberi kaunseling kepada keluarga Orang Asli yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah.
Tambah Azimah, JAKOA akan turut membantu keluarga Orang Asli yang mempunyai masalah kewangan untuk membeli pakaian sekolah dan lain-lain keperluan, di samping menyediakan pengangkutan bas ke sekolah sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Tembelang, Chula Minat, 58, meluahkan rasa syukurnya kerana ini merupakan tahun ketiga mereka menerima sumbangan tahun baharu.
– AH