
ALOR SETAR, 10 Julai (Malaysiaaktif) — Hujan ribut kuat yang tiba-tiba melanda bandar Alor Setar lewat pagi tadi menyebabkan kerosakan pada beberapa premis perniagaan.
Motosikal di tempat parkir terbalik dan terhumban ditiup angin kencang.
Di hadapan Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, pokok tumbang menghempap sekurang-kurangnya enam buah kereta. Kerja-kerja memotong dan mengalih sedang dilakukan.
Pokok tumbang menghempap kereta turut dilaporkan di tempat-tempat lain sekitar bandar ini.
Lain-lain kawasan yang turut dilanda hujan ribut itu termasuk Pokok Sena dan Padang Terap. Tiada kemalangan nyawa dilaporkan setakat ini.
Sementara itu, sumber-sumber Malaysiaaktif di Pulau Pinang dan utara Perak juga melaporkan hujan lebat.
Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluar amaran Ribut Petir dan hujan lebat di Kedah membabitkan daerah Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Sik. Jabatan tersebut juga meramalkan keadaan yang sama di Pulau Pinang daerah Timur Laut dan Barat Daya.
Di Sabah ia membabitkan bahagian pedalaman, termasuk Kuala Penyu, Beaufort dan Labuan. Di Sarawak, bahagian Limbang, Bintulu dan Mukah.
–LAGI MENYUSUL