
Oleh : Farahdila Wati Mohd Khamde Khuzaini
PUTRAJAYA, 10 JULAI 2015 (MalaysiaAktif) – Sememangnya bubur lambuk juadah istimewa dan popular di kalangan rakyat Malaysia, terutama pada Ramadhan.
Ramadhan tahun ini juga tidak terkecuali kerana pada Rabu lalu, buat julung kalinya Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) menganjurkan Program Agihan Bubur Lambuk di beberapa buah lokasi dan pejabat kerajaan di sini.
Antara premis termasuk di Dataran Putra, Putrajaya, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya.
Sebanyak 550 bungkus bubur lambuk diagihkan, kesemuanya inisiatif Exco PPTD Muda.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, antara yang membantu mengagihkan bungkusan juadah itu, termasuk kepada orang ramai yang melintasi laluan di Dataran Putera pada pukul 4 petang.
Beliau dan rombongan juga menziarahi pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Putrajaya di mana bubur lambuk dan sumbangan duit raya turut disampaikan.
Program amal ini diketuai Pengerusi PPTD Muda, Datuk Mohd Shafq Abdullah dan Mohamad Syafiee Musa selaku Pengarah Program.
Persediaan bubur lambuk disertai secara sukarela oleh kira-kira 50 orang terdiri daripada pegawai PPTD pelbagai kementerian dan jabatan.
Sebanyak 10 kawah bubur lambuk yang dimasak di Kampung Baru, Kuala Lumpur dibawa ke Putrajaya dan dibungkus untuk program tersebut.