
Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Mohd Nasrie Tapisil (Sabah)
KOTA KINABALU, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Prihatin dengan kepayahan yang dihadapi pengguna kerusi roda yang agak terhad pergerakannya, tiga pelajar Kejuruteraan Elektronik Komputer cuba mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut.
Tempoh enam bulan yang diambil oleh Dg Nuriffa Hanna, Nina Nathrah Nain dan Fenisia Kenai Johnny bagi mencipta produk tersebut berbaloi kerana menang Kategori Kejuruteraan dalam Program Projex 15.
Projex 15 atau Pertandingan Rekacipta Inovasi Kali ke-15 yang dilangsungkan di Politeknik Kota Kinabalu disediakan sebagai platform para pelajar untuk mempamerkan bakat dan memberi peluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam bidang yang diceburi oleh mereka.
Berkongsi cerita, Nuriffa berkata idea membuat projek kerusi roda pintar tercetus ketika melihat pengguna kerusi roda ini mempunyai masalah pergerakan.
“Adakalanya mereka ini terpaksa meminta bantuan orang lain untuk menyorong kerusi itu malahan jika digerakkan secara manual pula akan memenatkan tangan mereka.
“Kami habiskan tempoh enam bulan untuk membuat programnya saja. Sepanjang proses itu, kami kurang rehat dan tidur, ditambah lagi, masa yang padat dengan jadual kuliah serta tugasan yang banyak,” ujar Nuriffa mewakili rakan-rakannya.
Menurutnya, orang ramai yang melihat prototaip ciptaan mereka kagum kerana ahli kumpulan mereka semuanya pelajar perempuan.
“Malahan, kebanyakan orang memberi komen bahawa produk ini dapat mengurangkan kesukaran orang yang sukar berjalan dan menyokong agar produk ini dapat dikomersialkan.
“Kami merancang untuk membuat penambahbaikan sebelum produk ini dapat dikomersialkan dan dapat membantu mereka yang memerlukannya.
“Kami juga berharap agar ada pihak yang boleh membantu dari segi kewangan untuk memperkembangkan lagi produk ini,” ujar Nuriffa.
Jelasnya, berikutan masalah kewangan, produk yang mereka hasilkan ini hanya menampung beban seberat 40kg sahaja, oleh kerana itu mereka memerlukan dana untuk membeli bateri yang dapat alirkan kuasa yang cukup bagi menampung sekurang-kurangnya 70kg.
“Kami amat berharap pengguna akan berasa selesa dan mahir menggunakannya. Ini secara tidak langsung dapat meringankan beban penjaganya dan memudahkan pengguna bergerak tanpa perlu merasa letih,” kata Nuriffa ketika ditemui selepas majlis yang berlangsung di Politeknik Kota Kinabalu.
Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah.

Raymond(dua dari kanan) mendengar penjelasan mengenai aplikasi yang dibangunkan untuk menulis pesanan.
Raymond yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Bandar berkata aspek inovasi merupakan penanda aras baharu global dan sudah pasti menuntut keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan bermanfaat malah sebagai pemangkin kepada transformasi negara.
“Melalui Projex 15, para pelajar berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam bidang atau program yang diceburi mereka.
“Saya menyokong penuh program seumpama ini yang secara tidak langsung dapat mengimbangi tahap sosial pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” ujar Raymond.
Raymond yakin program ini bukan sahaja dapat menjadi katalis kepada lahirnya pelajar berinovasi malah dapat menjadi platfom yang menarik minat masyarakat memupuk budaya inovasi ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.
Terdapat tiga kategori dipertandingkan dalam Projex 15. Johan bagi kategori kejuruteraan dimenangi oleh Kumpulan JKE/PX 03 dengan produk Kerusi Roda Pintar.
Kategori Bukan Kejuruteraan dimenangi Kumpulan JPH/PX 02 dengan produk Konsep Pesanan Digital Dengan Penggunaan Aplikasi Telefon Bimbit.
Manakala kategori Poster pula dimenangi oleh JKM/PR 01 dengan produk Akuarium Pelbagai Fungsi.
–SF