Skip to main content
Berita TengahHomeWilayah Persekutuan

Jelajah Pendidikan KPM Bantu Masyarakat Selesai Isu-Isu Pendidikan

By 1 Mei 2018Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Nuraziazila Latif (UKK KPM)

 

PUTRAJAYA, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Kontroversi dan isu-isu hangat yang melanda sektor pendidikan negara ini sentiasa mendapat perhatian kementerian sehinggalah tercetusnya idea untuk menganjurkan Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Komited untuk memastikan masyarakat mendapat infomasi yang sahih, KPM mengerahkan 38 bahagian dan unitnya untuk turun padang bagi menjelaskan pelbagai isu-isu berkaitan di samping membelanja masyarakat dengan pelbagai maklumat dan aktiviti yang mencanai minda mereka.

Kerakusan media sosial menyebar luas pelbagai isu-isu pendidikan seperti disiplin pelajar, masalah sosial dalam kalangan murid, peluang-peluang murid di luar bandar sedikit sebanyak membantu menjadikan program Jelajah Pendidikan KPM sebagai program yang dinanti-nantikan oleh masyarakat untuk melihat sendiri kesahihan dan peranan yang dimainkan oleh kementerian.

Hari ini kita menyaksikan ramai pihak tidak kira usia, latar belakang bebas untuk menyuarakan pandangan, kritikan mahupun kejian semata-mata untuk mendapatkan perhatian.

Murid-murid Pendidikan Khas mengambil bahagian dalam acara sukaneka bersama ibu masing-masing di Program Jelajah Pendidikan KPM SK Kuala Nerang

Murid-murid Pendidikan Khas mengambil bahagian dalam acara sukaneka bersama ibu masing-masing di Program Jelajah Pendidikan KPM SK Kuala Nerang

Justeru kehadiran team Jelajah Pendidikan KPM di tempat mereka dapat membantu menjernihkan keadaan sekaligus merapatkan jurang kementerian dan masyarakat secara umumnya.

Bantu Selesai Masalah

Rata-rata ibu bapa serta penjaga amat berpuas hati dengan penganjuran program Jelajah Pendidikan KPM yang disifatkan seperti “orang mengantuk disorong bantal”.

Tidak hanya membawa team pameran, pihak urusetia turut mengatur program-program kecil seperti gotong royong untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan warga pendidik dan masyarakat.

Pengisian Jelajah Pendidikan KPM dibuat secara santai bagi membolehkan semua pihak berasa selesa dan tidak wujud ‘double standard’ sehingga merencatkan objektif program.

Aktiviti seperti pameran pendidikan banyak memberi ruang kepada ibu bapa dan pelajar untuk memahami peranan dan tugas setiap bahagian dan jabatan dalam kementerian.

Kreatif...peserta-peserta pertandingan gubahan menunjukkan bakat mengukir buah.

Kreatif…peserta-peserta pertandingan gubahan menunjukkan bakat mengukir buah.

Hal ini mampu mengurangkan salah faham dan membantu mereka mendapatkan maklumat tepat khususnya peluang untuk anak-anak melanjutkan pelajaran diperingkat menengah, menjalani kursus latihan vokasional serta bantuan-bantuan lain seperti kewangan dan sebagainya.
Kerjasama Terjalin

Program turun padang seperti ini juga memerlukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak sama ada di peringkat kementerian dan jabatan-jabatan pendidikan negeri serta anggota masyarakat yang terlibat.

Kerjasama ini tidak hanya melibatkan anggota diperingkat bawahan tetapi juga pengurusan tertinggi yang turut bersama-sama masyarakat dalam pelbagai aktiviti khususnya gotong royong dan pelbagai acara.

Program Jelajah KPM sebenarnya memberi fokus kepada showcase kejayaan-kejayaan yang digapai kementerian sama ada di peringkat lokal mahupun global.

Tidak hanya mengusung papan-papan pameran tetapi juga modal-modal insan yang berjaya dalam pelbagai bidang khususnya kemahiran turut serta dibawa dalam program ini dan masyarakat berpeluang untuk merasai dan menilai sendiri kemahiran yang mereka tunjukkan.

Strategi Kementerian

Sebagai sebuah kementerian yang sentiasa mendepani agenda transformasi pendidikan negara, adalah menjadi keutamaannya untuk mendapatkan maklum balas khususnya daripada warga pendidik, ibu bapa dan murid sendiri berhubung keberkesanan setiap dasar yang dilaksanakan.

Meskipun dunia kini rancak menggunakan media sosial sebagai platform penghubung, kaedah bersemuka walaubagaimanapun dilihat jauh lebih baik dan lebih berkesan serta mampu mengurangkan salah faham.

Murid-murid sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna semasa Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 di SK Kuala Nerang, Kedah.

Murid-murid sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna semasa Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 di SK Kuala Nerang, Kedah.

Ini kerana KPM amat menghargai setiap luahan, pandangan dan komen yang diterima dan sentiasa menambah baik inisiatif yang sedang dijalankan.

Sehubungan itu, masyarakat diseru menyertai apa sahaja program anjuran kementerian dan jabatan sama ada diperingkat pusat, negeri mahupun daerah bagi memudahkan orang ramai memberi maklum balas dari masa ke semasa.

-MRR

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda