
Laporan : Genda Sating Foto : Razali Ihi (Kuching)
KUCHING, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Masjid baharu Kampung Lintang yang menelan belanja RM8 juta dapat menampung sehingga 1,500 jemaah akan memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Kampung Lintang.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika ditemui wartawan berkata, masjid tersebut akan dibina secara berperingkat menggunakan peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri bernilai RM4 juta pada tahun ini dan baki RM4 juta lagi pada tahun hadapan.
“Kerajaan memahami bahawa masjid ini telah uzur dan berusia hampir 40 tahun serta mengalami banyak kebocoran menyebabkan masyarakat di sini berhasrat untuk membina masjid baharu,” ujarnya.
Abang Johari menghadiri Taklimat Cadangan Pembangunan Masjid Baharu bagi menggantikan Masjid Darul Naim, Kampung Lintang oleh Pengerusi Pembangunan Masjid Baharu Kampung Lintang, Abang Asri Abang Ariffin bersama jawatankuasa pembangunan masjid tersebut.
Pembinaan masjid baharu yang bermula Ogos 2018 ini dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.