Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

57 Kakitangan Politeknik KK Teknologis Berdaftar

By 22 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan oleh: Siti Mariam Aziz Rashid/Foto: UPIM,PKK

 

KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – 57 pensyarah dan kakitangan Politeknik Kota Kinabalu(PKK) didaftarkan dan diiktiraf sebagai Teknologis Profesional dan Juruteknik Bertauliah oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) berkuatkuasa Julai lalu.

Mendahului senarai 55 Teknologis Profesional adalah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Ts. Zainab Othman, sementara dua staf lain didaftarkan di bawah Juruteknik Bertauliah.

Dengan pengiktirafan tersebut, kesemua staf yang berdaftar kini membawa gelaran
Teknologis (Ts.) dan Juruteknik Bertauliah (Tc.).

Kesemua 57 teknologis dan juruteknik bertauliah tersebut menerima sijil mereka daripada Presiden MBOT, Tan Sri Dato’ Academician (Dr.) Ts. Ahmad Zaidee Laidin pada majlis yang diadakan sempena Karnival MyCareer @ MOE Negeri Sabah 2018 yang diadakan di sini baru-baru ini.

Ts. Ahmad Zaidee dalam ucapannya berkata, peranan dan tanggungjawab para teknologis dan juruteknik di negara ini penting dalam situasi negara sedang menuju ke arah Revolusi Perindustrian Keempat.

“Untuk memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian 4.0, seseorang harus bersedia melaksanakan peranan lain selain menjalankan tugas hakiki.

“Pendidikan sepanjang hayat dan pengukuhan kemahiran adalah kunci untuk terus hidup dalam landskap pekerjaan semasa dan masa hadapan,”kata Zaidee.

Beliau menambah bahawa hari ini, keupayaan seseorang untuk berubah dan untuk terus maju tidak lagi bergantung semata-mata pada bidang kerja sedia ada, tetapi dengan teknologi, sesiapa sahaja boleh membuat perubahan dan berinovasi.

“Oleh itu, teknologis memainkan peranan penting dalam inovasi. Pengiktirafan teknologis dan juruteknik serta pekerja mahir akan mendorong mereka untuk menjadi lebih inovatif dan produktif dalam perancangan untuk generasi akan datang,” katanya.

MBOT dilancarkan oleh mantan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada 17 Nov tahun lepas, dan telah membuka pendaftaran keahlian untuk teknologis dan juruteknik dalam dua kategori peringkat kemasukan.

Dua Peringkat tersebut ialah Graduate Technologists untuk pemegang ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Certified Technicians untuk pemegang diploma dan sijil kemahiran.

Teknologis dan juruteknik yang berdaftar dengan MBOT akan mempunyai peluang untuk diiktiraf sebagai Teknologis Profesional atau Juruteknik Bertauliah mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Ts. Zainab binti Othman berkata,
pengiktirafan yang diberikan kepada kakitangan Politeknik KK pastinya akan meningkatkan tahap keyakinan mereka dan akan memberi motivasi kepada kakitangan untuk terus berusaha bagi mencapai visi institut untuk menjadi institusi TVET yang unggul menjelang 2020.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan pencapaian dan pengiktirafan ini yang saya percaya akan meningkatkan tahap motivasi dan keyakinan di kalangan kakitangan saya dalam usaha kami untuk melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan inovatif, serta mencapai misi kami untuk menjadi institusi TVET unggul menjelang 2020.

“Saya turut yakin pengiktirafan ini secara tidak langsung akan meningkatkan imej PKK sebagai institusi pendidikan tinggi terbaik untuk memperoleh pendidikan berasaskan kemahiran yang berkualiti atau pendidikan TVET di negeri ini,”kata Zainab.

Beliau juga percaya bahawa teknologis dan juruteknik bertauliah yang berdaftar di bawah MBOT kini akan mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas ke arah mendapatkan pengiktirafan sebagai profesion yang akan dapat menonjolkan aspek teknologi yang berprestij, serta diiktiraf setanding dengan tahap akreditasi yang diberikan kepada para jurutera.

Upacara penyampaian sijil tersebut disaksikan oleh Pembantu Menteri Perdangangan dan Perindustrian Sabah, Azhar Matussin; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Haji Mohammad Amin Hamat serta pengurusan tertinggi jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tinggalkan komen anda