Skip to main content
HomeJohor

Telefon Ibu Setiap Pagi Kunci Kejayaan Nor Latifah

By 22 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/Foto: Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

 

JOHOR BAHRU, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Johan Kategori Belia Wanita Anugerah Perdana Belia 2018 Peringkat Negeri Johor, Nor Latifah Ali Syaiful, 28, percaya doa ibu bapa amat penting dalam memudahkan urusan kehidupan seharian.

Sebab itu, setiap hari Latifah akan meluangkan masa untuk membuat panggilan pada keluarga di kampung sebelum keluar bekerja.

“Benda yang paling utama setiap hari saya buat ialah setiap pagi sebelum pergi kerja, saya akan telefon ibu saya untuk memohon doa dan restu agar dipermudahkan perjalanan rezeki dan kerjaya saya,” jelasnya.

Nor Latifah telefon ibu setiap pagi untuk memohon restu dan doa kejayaan bagi permudahkan urusan ketika bekerja.

Nor Latifah telefon ibu setiap pagi untuk memohon restu dan doa kejayaan bagi permudahkan urusan ketika bekerja.

“Saya hanya terlibat secara aktif dalam aktiviti kesukarelawanan ini sejak tiga tahun lalu dan saya amat bersyukur atas kejayaan ini serta ingin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Belia Daerah Johor Bahru atas sokongan moral selama ini,” tambahnya lagi.

Manakala Johan Kategori Belia Lelaki pula, Fauzi Faizal, 34, berkata beliau menyifatkan kejayaan kali ini bukanlah datang dari usaha individu, tetapi semangat berpasukan yang ditampilkan oleh semua ahli-ahli Kelab Belia Sungai Tiram di mana beliau merupakan pengerusinya.

“Saya merasa bangga kerana mempunyai rakan-rakan yang sangat komited dalam membantu anak-anak muda di Kampung Sungai Tiram yang ingin bersaing dalam kemajuan dan arus perdana dalam negara ini,” ujarnya yang percaya bahawa kaedah mendekati golongan muda sebagai kawan lebih berkesan dari kepentingan jawatan yang dipegang.

Golongan belia di kampung dilayan seperti kawan, resepi kejayaan Fauzi Faizal dinobatkan sebagai Johan Anugerah Belia Lelaki 2018

Golongan belia di kampung dilayan seperti kawan, resepi kejayaan Fauzi Faizal dinobatkan sebagai Johan Anugerah Belia Lelaki 2018

Latifah dan Fauzi diumum johan bersama pemenang-pemenang kategori yang lain dalam satu majlis yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, di sini, kelmarin.

Bagi kategori Pertubuhan Belia, ia dimenangi oleh Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru manakala Zamrie Baharuddin, 32, Goh Tiam Huat,34, dan Devadason Anthony A/L Anthony Samy, 36, masing-masing bagi kategori Aktivis Melayu, Cina dan India.

Kategori Badan Gabungan Terbaik Majlis Belia Negeri Johor pula dimenangi oleh Majlis Belia Daerah Segamat. Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai antara RM3,000 dan RM15,000 serta sijil penghargaan dan piala iringan.

Osman berkata, golongan belia merupakan aset penting yang akan menentukan masa depan negara. Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 yang disediakan di bawah Kementerian Belia dan Sukan memberikan tumpuan untuk mencungkil potensi belia melalui pembangunan belia yang lebih positif.

“Namun, dalam konteks keadaan semasa, cabaran golongan belia makin luas dan ia merangkumi elemen ekonomi, sosial, teknologi dan politik.

Suka untuk saya tekankan di sini bahawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan amat mengambil berat terhadap kepentingan golongan belia yang peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negeri ini tidak dinafikan,” jelas beliau lagi dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2018 Peringkat Negeri Johor.

Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru dinobatkan sebagai Johan Kategori Pertubuhan Belia

Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru dinobatkan sebagai Johan Kategori Pertubuhan Belia

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk A. Rahim Nin; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Tuan Mohd Khuzzan Abu Bakar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Amran A. Rahman; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Badari Awang Damit dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Salihin Mohamad.

Anugerah Perdana Belia Negara yang diperkenalkan pada tahun 1988 ini bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan belia dalam pelbagai bidang.

 

EM

 

 

Tinggalkan komen anda