
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)
LACHAU, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Pekan Lachau, namanya mungkin agak pelik dan menjengkelkan. Nama pekan ini diambil dari sejenis cicak hutan. Ia merupakan sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 43km dari bandar Sri Aman Sarawak.
Pada setiap hujung minggu ia sentiasa sibuk dikunjungi oleh penduduk setempat dan pengunjung luar yang singgah sama ada untuk menjamu selera atau membeli barangan yang dijual di situ.
Pekan ini telah wujud semenjak awal tahun 1970an, sewaktu era pengganas komunis. Ia adalah antara pekan kecil yang tersohor dan sering menjadi tumpuan pengguna jalanraya Pan Borneo kerana menjual pelbagai barangan makanan kering dan basah.
Pada era komunis, pekan ini sunyi kerana masyarakat takut dengan tindakan pasukan komunis yang sentiasa menganggu penduduk setempat. Setelah era tersebut berakhir, pekan ini semakin berkembang. Daripada sederet kedai kayu 10 pintu kini terdapat lima deret di mana dua deret baharu dibuat daripada konkrit
Gerai yang menjual barangan hasil tani, akuakultur, produk hutan dan kraftangan dibuka pada jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang. Manakala kedai menjual makanan dan runcit pula dibuka pada jam 6.30 dan tutup 5.30 petang. Kebanyakan penjual makanan kering, buahan dan sayuran ini menggunakan kaki lima dan pusat jualan untuk berjual.
Pada musim buah, kebanyakan buahan tempatan seperti durian, dabai, rambutan, pulasan, langsat, cempedak, duku, pakan, kemayau dan sebagainya dijual di situ. Produk daripada sumber ikan sama ada kering atau hidup seperti keli, banta, tilapia, pirang, baong, lajong, haruan, telor buntal dan buntal salai banyak dijual. Hampir kesemua sayuran hutan yang ada di Sarawak turut dijual.
Menurut Amy Laini, berasal dari Mukah yang berjual di sini kerana mengikuti suami bekerja di Lachau, pada masa ini pengujung agak kurang berbanding dua tahun lepas. “Kemerosotan pengunjung dan pendapatan sekarang ini mungkin disebabkan oleh pembinaan lebuhraya Pan Borneo dan ramai juga pengguna jalan raya telah beralih ke jalan pesisir. Kalau dulu sehari pendapatan kami lebih kurang RM200 kini semakin merosot,” jelasnya
Walaupun penduduk di sini majoritinya kaum Iban, namun kaum Cina, Melayu, Melanau dan Bidayuh turut berniaga menjual barangan hasil tani, akuakultur dan hasil hutan. Antara yang menarik di sini ialah hampir kesemua masyarakat Cina mahir bertutur bahasa Iban. Malah masyarakat Cina peranakan bertutur bahasa Iban bila kelompok kaum Cina bersembang di kedai kopi.
Menurut Jong, dulu pekan ini kurang sambutan kerana bersaing dengan pekan Sg Tenggang. “Setelah kami membenarkan penduduk tempatan menjual hasil tani dan produk hutan mereka di kaki lima, pekan ini semakin berkembang dan tidak kering tangan menerima tetamu. Malah penjual hasil tani dari negara jiran (Kalimantan Barat) turut menghantar barang jualan ke pekan ini,” jelas beliau.
Jika anda ingin merasa pekasam ikan air tawar dari Batang Ai, keli, baong, banta, tilapia hidup, ikan dari air masin pula seperti pirang, buntal serta telurnya atau anda minat dengan anyaman tikar, busana dan kraftangan Iban singgahlah di pekan ini Malah produk hutan dan hasil tani sentiasa segar.
Hiasan dinding dari tanduk rusa dan barang-barang antik awal tahun 1900an hingga 1960an ada dijual di sini. Tidak sah perjalanan merentas Pan Borneo jika tidak singgah sambil melihat jualan atau sekurang-kurangnya membeli barangan dijual di sini.