
Laporan / Foto : Mohd Hussin Abdullah (Tumpat)
TUMPAT, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia merupakan kaedah penyaluran maklumat mengenai dasar dan program kerajaan melalui komunikasi bersemuka termasuk media tradisional, hiburan dan pendidikan.
Konsert Shoutul Sahabah (Nasyid) Pentarama Putrajaya telah mengadakan persembahan di Perkarangan Masjid Al Rahman, Palekbang bermula pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam tadi.
Tujuan Konsert ini diadakan untuk menyampaikan maklumat supaya masyarakat menyokong serta menerima falsafah, wawasan dan dasar-dasar kerajaan melalui aktiviti seni dan budaya persembahan pentas.
Nyanyian lagu-lagu nasyid ketuhanan dan sketsa anak derhaka merupakan pengisian program pada malam tersebut.
Keranda jenazah turut dijadikan bahan dalam sketsa untuk menarik keinsafan para penonton.
Wakil Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Azhar Ismail menyatakan program seumpama ini merupakan julung-julung kali diadakan di Kelantan kerana masjid dijadikan tempat persembahan pentarama.
“Biasanya kita mengadakan persembahan pentarama di padang tetapi malam ini ada kelainan kerana perkarangan masjid dijadikan tempat persembahan pentarama dan mendapat sambutan yang di luar jangkaan,” jelasnya di dalam ucapan.
Menurut Tuan Iman Masjid Al Rahman, Ustaz Nasir bin Abdul Rahman, program sebegini harus diteruskan kerana banyak info-info yang boleh dikongsi bersama untuk memberi kefahaman dan keinsafan kepada masyarakat dalam pelbaga isu.
“Masjid bukan hanya tempat menunaikan solat semata-mata tetapi pelbagai aktiviti yang sihat boleh dilakukan asalkan jangan menyalahi undang-undang. Konsert Shoutul Sahabah (Nasyid) dan sketsa yang bertajuk anak derhaka merupakan platform yang bagus untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat terutama golongan belia”. Ujarnya.
Lebih 600 orang yang hadir menyaksikan persembahan tersebut yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.