
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Nornisah Khairoji (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Dalam menyampai dan memberikan kefahaman mengenai usaha-usaha serta agenda kerajaan secara bersemuka dengan masyarakat setempat, Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menganjurkan Program Sepakat-Malaysiaku Harapanku dengan hasrat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew, program berkonsepkan pameran kenegaraan ini melibatkan enam jabatan/agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) antaranya Jabatan Penerangan, Pusat Maklumat Rakyat, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pos Malaysia Berhad.
“Program ini amat sesuai untuk meningkatkan semangat solidariti dalam kalangan masyarakat untuk menyokong dan bersama-sama menjayakan agenda kerajaan ke arah membina Malaysia baharu yang bersih, progresif, dinamik serta maju.
“Saya turut berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan di setiap parlimen khususnya luar bandar seperti Sabah dan Sarawak,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.
Pelbagai info dan maklumat berkisarkan matlamat dan pencapaian kerajaan turut dipamerkan bagi paparan umum sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung yang berakhir semalam.
Kemuncak program ini nanti adalah aktiviti Gotong-Royong Kenduri Ramadan, penduduk setempat menyediakan bubur lambuk sebagai menghayati konsep perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum.