
Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Lebih 200 orang muslimat mengimarahkan bulan mulia Ramadan melalui khatam Al-Quran.
Pengerusi Syukbah Wanita dan Kemasyarakatan, Datuk Dr Suzain Suhaimi berkata jumlah tersebut merupakan penyertaan aktiviti tadarus selama dua minggu.

Pengerusi Syukbah Wanita dan Kemasyarakatan di bawah naungan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Dr Suzain Suhaimi.
“Setiap tahun, Syukbah Wanita akan mengadakan tadarus Al-Quran selama dua minggu pertama Ramadan dan terbuka kepada semua masyarakat.
“Program ini dilakukan pada dua sesi, iaitu pada waktu siang dan malam bagi memberikan pilihan dan kemudahan kepada muslimat.
“Seramai 80 muslimat menyertai program tadarus di masjid ini dan selebihnya merupakan ahli dari agensi lain yang turut melakukan tadarus seperti Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah (PERTIWISA), Aman Palestin dan Wanita USIA.
“Setelah mengkhatam 30 juzuk pada Sabtu lepas, hari ini merupakan majlis yang diadakan bersempena dengan Nuzul Quran,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Khatam Perdana di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pada Isnin.
Tambah beliau, program tadarus merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan sejak penubuhan Syukbah Wanita dan Kemasyarakatan pada tahun 2000.
Antara pengisian lain adalah tazkirah dari Ustaz Dr Harun Tafsir bertajuk ‘Anatomi Al-Quran’.
Turut berlangsung pada majlis berkenaan iaitu penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada tenaga pengajar program tadarus serta pemberian sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) kepada penganjur yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah merangkap Penasihat YNJ, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Dalam pada itu, Suzain menyeru masyarakat untuk menyalurkan sumbangan bagi Program Penjagaan Kebajikan Pesakit Terminal (COTI).
“Program COTI merupakan usaha dakwah kepada pesakit terminal termasuk kanser dan meminjamkan peralatan perubatan seperti oksigen, kerusi roda, katil dan lain-lain.
“Di bulan yang mulia ini, bantuan bagi mereka menyambut bulan Syawal adalah amat dialu-alukan.
“Kami menerima sumbangan dalam bentuk baju raya, biskut raya, keperluan harian dan bagi yang ingin memberikan wang tunai bagi mereka membeli baju raya juga sangat di alukan,” ujarnya.
Orang ramai boleh berhubung dengan Maimunah Sulay di talian 016 820 1036 atau terus ke pejabat pentadbiran Syukbah Wanita di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.