Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

2,550 Asnaf Labuan Terima Bantuan Aidilfitri RM500

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN 21 Mei ( Malaysiaaktif) – Seramai 2550 penerima bantuan kewangan bulanan, MAIWP
menerima bantuan Aidilfitri RM500 seorang yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, bantuan keseluruhan berjumlah RM1,275,000.00 itu bertujuan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh golongan asnaf ketika membuat persiapan menjelang hari raya aidilfitri yang bakal tiba.

“Kita Sebagai rakyat Malaysia haruslah bersyukur kerana dengan izin Allah S.W.T. kita hidup dalam keadaan harmoni di bawah limpahan rahmatNYA hingga ke hari ini.

“Keadaan ekonomi yang stabil menjadi faktor utama peningkatan kutipan zakat dan hasilnya kerajaan melalui agensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dapat
mempelbagaikan bantuan kepada golongan asnaf.

Rozman (lima dari kiri) menyampaikan cek replika bantuan aidilfitri kepada wakil asnaf.

Rozman (lima dari kiri) menyampaikan cek replika bantuan aidilfitri kepada wakil asnaf.

“Semoga bantuan yang disalurkan ini akan memberi kegembiraan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf,” katanya.

Menurutnya lagi, MAIWP bukan sahaja tertumpu kepada pengagihan skim bantuan kewangan bulanan sebaliknya MAIWP cuba meningkatkan agihan bantuan melalui skim pendidikan yang dilihat mampu untuk merubah kehidupan keluarga asnaf.

“Kepada penerima skim bantuan kewangan bulanan, mereka juga layak memohon bantuan skim pendidikan kepada anak-anak mereka seperti bantuan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi dalam ataupun luar negeri dan bantuan persekolahan yang menjadi sebahagian daripada 28 skim bantuan yang diwujudkan di MAIWP Cawangan Labuan,” katanya lagi semasa merasmikan Program Jelajah Ramadhan, Majlis Iftar Bersama Asnaf dan Anak-Anak Yatim 2019 bersamaan 1440H Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan, kelmarin.

Dalam pada itu, Puspanita Labuan turut mengagihkan wang tunai RM50 seorang kepada 60 anak yatim yang terpilih di Wilayah Persekutuan Labuan.

Hadir sama Pengurus MAIWP Labuan, Ahmad Saifuddin Md Tahir, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan, Fauziah Mohd Sidek, Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi, Perbadanan Labuan, Helmi Bali, Pengerusi Masjid Al-Ehsan, Sudin Samat, Ketua- Ketua Jabatan dan Para Pemimpin Masyarakat.

EM

Tinggalkan komen anda