Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Semarakkan Al-Quran, Lengkapi Rawatan Moden

By 21 Mei 2019Tiada komen6 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Alunan ayat suci merdu berkumandang di Ballroom Wisma Wanita pada pagi Ahad, dibaca secara beramai-ramai oleh 300 orang jemputan.

Jemputan yang hadir terdiri daripada lebih kurang 20 persatuan wanita di Kota Kinabalu, termasuk ahli Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah (PERTIWISA) dari daerah Beaufort, Kota Belud, Tuaran dan Sandakan.

Toh Puan Norlidah(empat dari kiri) dan Shuryani (tiga dari kiri) ketika bacaan doa.

Toh Puan Norlidah (empat dari kiri) dan Shuryani (tiga dari kiri) ketika bacaan doa.

Lebih manis lagi, Majlis Semarak Ramadan PERTIWISA turut dihadiri oleh Penaungnya, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Seusai doa khatam Al-Quran dibacakan oleh Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sabah, Muchlis Ali Kassim, jemputan turut berpeluang mendengar tazkirah bertajuk “Keberkatan Al-Quran” yang disampaikan oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Haji Bungsu @ Aziz Jaafar.

Datuk Haji Bungsu @ Aziz Jaafar.

Datuk Haji Bungsu @ Aziz Jaafar.

Menurut Bungsu, Beliau gembira apabila sepanjang bulan ini ramai yang berusaha untuk menyemarakkan dan memeriahkan Ramadan dengan pelbagai program, termasuklah Program Khatam Quran.

“Tetapi ada kalanya kita terlupa kumpulan sasar iaitu remaja, jadi untuk golongan ini, kita perlu buat sesuatu yang sesuai dengan jiwa orang muda.

“Antara yang boleh kita cadangkan dan masih lagi berfokus kepada al-Quran contohnya ialah Program Penghayatan dan inti pati al-Quran yang berkaitan dengan sains dan teknologi ataupun kita bahaskan al-Quran yang berkaitan dengan remaja.

“Antaranya cerita seperti Ashabul Kahfi, iaitu remaja yang terkurung dalam gua ataupun Ashabul Ukhdud (Para Pembuat Parit) atau kisah-kisah nabi Isa a.s. kerana nabi Isa juga remaja dan baru sahaja berusia 32 tahun ketika diangkat di langit.

Toh Puan turut bersama-sama mengalunkan ayat suci al-Quran.

Toh Puan turut bersama-sama mengalunkan ayat suci al-Quran.

“Kita cuba ambil pendekatan ini dengan memenuhi selera remaja, jadi mereka tidak ketinggalan dan mereka masih lagi kita libatkan dalam penyemarakan Ramadan,” jelasnya.

Tambahnya juga, Gajet yang ada sekarang ini juga amat membantu dalam bacaan al-Quran serta huraian hadis, kerana menelaah melaluinya memang sangat sesuai untuk remaja.

“Daripada hukum syarak memang dibolehkan, cuma pastikan ia aplikasi yang diiktiraf oleh kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Aplikasi Smart Quran yang disyorkan oleh Datuk Haji Bungsu.

Aplikasi Smart Quran yang disyorkan oleh Datuk Bungsu.

“Aplikasi rasmi yang diterima oleh JAKIM ialah Smart Quran, kerana walaupun memang banyak aplikasi seumpamanya yang boleh dimuat turun, tetapi pengguna perlu berhati-hati kerana ada di antaranya merupakan aplikasi yang diragui,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan gabungan rawatan moden dan al-Quran sebagai elemen saling melengkapi antara satu sama lain.

“Jika dilihat kembali pada zaman Rasulullah SAW, terdapat banyak hadis diceritakan dan mengharuskan penggunaan ayat al-Quran dalam perubatan.

Antara jemputan yang hadir bersama dalam majlis khatam Al-Quran

Antara jemputan yang hadir bersama dalam majlis khatam al-Quran

“Ini sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman….” (al-Israa’: 82).

“Keseluruhan al-Quran itu merupakan penawar kepada segala penyakit, khususnya penyakit-penyakit rohani, tetapi ini tidak bermaksud kita harus meninggalkan rawatan moden.

“Rawatan moden tidak ada ubat untuk rawatan kerohanian, ia hanya merawat fizikal seperti sakit jantung, darah tinggi dan lain-lain, tetapi al-Quran boleh merawat kedua-duanya iaitu merawat penyakit yang berpunca daripada dalaman dan juga fizikal.

“Tetapi jangan sekali-kali kita tinggalkan rawatan moden, sebab kita disuruh untuk berubat, hadis nabi juga ada menyebut agar kita berubat sama ada cara tradisional ataupun moden, asal sahaja tidak terlibat dengan rawatan syirik,” katanya.

Zaleha(kiri) menerima sumbangan daripada Toh Puan Norlidah.

Zaleha(kiri) menerima sumbangan daripada Toh Puan Norlidah.

Beliau juga merupakan ahli lembaga pengawalan bahan-bahan penerbitan al-Quran, di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JAKIM.

“Badan ini ada penguatkuasaan kastam dan KDN, yang akan menapis bahan-bahan yang ada al-Quran tetapi tidak memenuhi kriteria, maka bahan-bahan ini akan disita, Contohnya ayat-ayat al-Quran yang dijual tetapi tidak tepat dengan penulisannya maka ia boleh dirampas.

“Wafak juga dirampas kerana ada ditulis ayat al-Quran padanya. Lagi satu tujuannya yang tidak dibenarkan oleh syarak misalnya wafak tersebut diletak di jaket untuk kebal yang terang-terangan bercanggah dengan tujuan al-Quran kerana ayat tersebut telah dimanipulasi untuk tujuan yang tidak syarie,” jelasnya lagi.

Ahli PERTIWISA dari seluruh negeri mengambil kesempatan bergambar bersama Toh Puan Norlidah.

Ahli PERTIWISA dari seluruh negeri mengambil kesempatan bergambar bersama Toh Puan Norlidah.

Beliau turut berharap agar penghayatan al-Quran sentiasa disemarakkan sepanjang Ramadan dan umat Islam untuk keluar dari kepompong biasa untuk membaca al-Quran, bertadarus, mengkhatamkan sekali gus menghayati makna al-Quran.

“Kita mahu juga kebaikan pada bulan Ramadan ini dikongsi, al-Quran menyuruh kita berlumba-lumba membuat kebaikan iaitu kebajikan kepada orang-orang asnaf, miskin, fakir, malahan kepada mualaf mahupun orang bukan Islam yang susah.

“Kita di Sabah ramai saudara mara yang bukan Islam dan Islam tidak melarang kita membantu mereka sedangkan dalam bulan ini kita boleh luaskan skop kebajikan itu kepada yang bukan Islam yang memerlukan, itu sebenarnya semangat Ramadan,” harapannya.

Hajah Kamsiah Ajing

Hajah Kamsiah Ajing

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Kamsiah Ajing yang hadir bersama tujuh orang ahli PERTIWISA cawangan Sandakan, berkata tahun ini merupakan kali kedua beliau menghadirkan diri ke majlis Khatam Al-Quran anjuran PERTIWISA negeri.

Menurutnya, PERTIWISA Sandakan turut mengadakan Program Tadarus al-Quran dan Khatam al-Quran yang kini sudah mencapai juzuk ke-16 sejak dimulakan pada hari pertama Ramadan melibatkan 30 orang ahli.

“Banyak aktiviti yang dilakukan untuk menyemarakkan Ramadan seperti Program Sedekah Jumaatku dengan menghantar kuih muih dan air mineral di setiap masjid di bandar Sandakan setiap minggu untuk jemaah, orang kurang berkemampuan, anak yatim, mualaf dan juga lawatan ke hospital melawat orang sakit.

Toh Puan Norlidah merakamkan kenangan bersama ajk PERTIWISA negeri Sabah.

Toh Puan Norlidah merakamkan kenangan bersama AJK PERTIWISA negeri Sabah.

“Dana yang digunakan daripada ahli serta keluarga dan kawan-kawan, setiap minggu kami akan buat pungutan dan aktiviti ini sudah dilakukan hampir tiga tahun kerana sokongan untuk melakukannya sangat menggalakkan.

“Selain itu juga kami membuat perkhidmatan mencuci telekung-telekung dari surau sekolah dan juga pusat membeli belah serta masjid-masjid,” jelas Kamsiah.

Selaku pengerusi, beliau turut mengharapkan agar lebih ramai lagi golongan muda terutama sekali wanita-wanita untuk turut serta dalam kerja-kerja amal.

Antara jemputan yang hadir bersama dalam majlis khatam Al-Quran

Antara jemputan yang hadir bersama dalam majlis khatam Al-Quran

“Dalam PERTIWISA di Sandakan, kami buat kebanyakannya aktiviti luar seperti program amal, kraf tangan dan masakan yang mampu menarik minat orang muda untuk turut serta.

“Kita berharap orang muda untuk menjadi sebagai pelapis untuk menyambung perjuangan kami kerana kami juga sudah veteran.

“Saya suka persatuan ni kerana sebelum sertai PERTIWISA, kami jarang buat kerja amal, tapi sekarang hampir setiap hari buat amal.

Ahli PERTIWISA dari seluruh negeri mengambil kesempatan bergambar bersama Toh Puan Norlidah.

Ahli PERTIWISA dari seluruh negeri mengambil kesempatan bergambar bersama Toh Puan Norlidah.

“Kita juga berharap PERTIWISA terus maju dan mendapat sokongan pelbagai pihak kerana ia juga satu badan yang membantu kerajaan.

“Terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Sabah (JAIS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang banyak membantu kami dari segi peralatan memasak serta kewangan hingga kami dapat meneruskan aktiviti kami untuk masyarakat,” katanya lagi.

Turut hadir, Yang Di Pertua PERTIWISA, Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib; Pengerusi PERTIWISA, Zaleha Mohd Kassim Kassim dan Pengerusi PUSPANITA Sabah, Datin A’zah Ismail.

EM

Tinggalkan komen anda