Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

Sokongan Mental, Spritual Beri Makna Kepada Pesakit

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)

MUAR, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Diabetes merupakan penyakit yang dapat dikenalpasti melalui kandungan glukosa dalam darah, semua bentuk diabetes boleh meningkatkan risiko komplikasi jangka panjang yang boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah.

Pejabat Kesihatan Daerah Muar dengan kerjasama Econsave telah mengambil inisiatif memberikan sumbangan kepada para pesakit yang memerlukan dan serba kekurangan seperti pesakit yang menghidapi kencing manis dengan menyampaikan sumbangan set Glucometer.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhaida Ujang, program sumbangan bersama Econsave ini telah bermula sejak tahun 2014 lagi dan merupakan program tahunan yang telah memasuki tahun keenam penganjurannya.

“Sumbangan atau bantuan tidak terhad kepada bentuk kewangan atau material semata-mata, meluangkan masa, tenaga, sokongan secara mental dan spiritual juga mampu menjana perubahan dan membawa seribu makna kepada pesakit yang memerlukan, selain turut mengadakan pameran dan pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung,” katanya sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya di sebuah pusat membeli belah, di sini semalam.

Sementara itu, seorang penerima bantuan Saadiah Jaafar, 66, sumbangan ini amat bermakna buat beliau yang menghidapi kencing manis sehingga mengakibatkan penglihatannya kabur.

“Saya seorang penghidap kencing manis dalam tempoh yang lama, tapi sejak beberapa tahun ini kesihatan saya semakin merosot hingga menyebabkan penglihatan saya terjejas.

Saya sangat bersyukur dengan sumbangan ini, dan saya dapat memantau sendiri paras glukosa dalam darah dengan menggunakan peratan yang telah dibekalkan di rumah” katanya yang merupakan balu dan hidup bersendirian.

Seorang lagi penerima ketika ditemui, Mohd Nasir Harun, 70, mengucapkan rasa syukur dengan sumbangan yang disampaikan kerana sedikit sebanyak bantuan seperti ini meringankan bebannya dalam menyediakan persiapan hari raya untuk keluarganya.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa NGO di Muar antaranya Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar, Farmasi Ihsan dan My Bizcuit. Sumbangan baucer bernilai RM150 turut diberikan kepada 50 keluarga pesakit sebagai melengkapi persiapan menyambut Syawal yang akan menjelang tiba.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Mas Imran Adam dan Pengerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Harolhanam Mohammed Wahid.

-SH

Tinggalkan komen anda