
Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Klinik Kesihatan Kampung Seberang Tayur yang bernilai RM5 juta telah mula beroperasi pada 2 Jun lalu.
Klinik Kesihatan yang baru beroperasi ini menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu dan anak, pesakit luar dan rawatan awal bagi kes-kes kecemasan.
Roslini Rani, Ketua Jururawat, 46 merupakan ketua di klinik ini berkata penduduk Kampung Seberang Tayur dan sekitarnya bertuah kerana memperolehi sebuah klinik yang agak luas dan selesa.
“Klinik ini menempatkan enam orang petugas kesihatan yang terdiri dari Pembantu Perawatan Kesihatan dan Jururawat Masyarakat. Mereka sentiasa sedia memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat dan sekitarnya.
“Klinik ini juga ada menempatkan sebuah farmasi yang membekalkan ubatan kepada pesakit-pesakit ringan yang memerlukan,” ujarnya.
“Klinik kesihatan ini menggantikan Klinik Desa Kampung Seberang Tayur yang merupakan tempat tumpuan penduduk jika ada sebarang masalah kesihatan sebelum ini.
“Klinik ini akan beroperasi seperti kilinik-klinik kesihatan lain iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang dan terdapat seorang petugas kesihatan untuk memberikan perkhidmatan kecemasan di luar waktu operasi,” tambahnya lagi.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang ditemui Fadzillah Mahmud, 58, berkata rasa teruja kerana kilinik kesihatan dapat didirikan di kampung ini.
“Selain memudahkan penduduk kampung di sini dan sekitarnya, klinik ini juga lebih luas dan selesa berbanding dengan klinik desa sebelum ini.
“Penduduk kampung di sini tidak perlu lagi ke Klinik Kesihatan Air Putih untuk mendapatkan rawatan susulan kerana lokasinya yang agak jauh dari kampung ini.
“Penduduk kampung dapat menjimatkan masa dan kos pengangkutan mereka dengan adanya klinik kesihatan ini,” ujarnya.
Manakala bagi Azlan Ismail, 38, berkata lokasi klinik strategik kerana terletak di atas bukit dan amat bagus sekali kerana perkampungan di sini kerap dilanda banjir sekiranya tiba musim tengkujuh.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana hasil usaha kerajaan dalam merealisasikan keinginan penduduk untuk mempunyai klinik kesihatan di kampung kami menjadi nyata,” ujarnya.
Dengan terbinanya sebuah klinik kesihatan ini, telah menambahkan lagi fasiliti yang sedia ada di kampung ini.
-EM