Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

“Sentiasa Pentingkan Rakyat dan Negeri” – Sultan Ibrahim

By 27 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Musliha Yusof/Nurhalimah Mahmood/Mohd Najib Mohaini

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar amat dekat di hati Bangsa Johor dan tidak hairanlah baginda disayangi ramai kerana sikapnya yang prihatin, peduli dan kasih kepada rakyat.

Perwatakan dan keperibadian baginda bukan sahaja menjadi simbol gahnya empayar kesultanan Johor, malah ia juga menterjemahkan keakraban antara raja dengan rakyat.

“Jalankan tugas yang diberikan dengan jujur dan ikhlas serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan peribadi atau parti politik,” titah tuanku ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor kali yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, pagi tadi.

Sultan Johor bersama barisan Ahli Dewan Negeri Johor

Sultan Johor bersama barisan Ahli Dewan Negeri Johor

Baginda juga menyeru kepada semua pemimpin kerajaan memahami sejarah negeri Johor dan mendalami ilmu pentadbiran kerajaan agar dapat membuat keputusan yang tepat dan konsisten selaras dengan asas pembangunan negeri Johor.

Semua wakil rakyat yang telah diberi kepercayaan untuk mewakili masyarakat di negeri ini dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk membawa suara dan kehendak rakyat dan bukannya bersuara atau bertindak demi kepentingan diri masing-masing.

“Suka saya ingatkan bahawa setiap pemimpin yang telah dilantik mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memikul amanah rakyat dan negeri Johor.

Sultan Johor akan sentiasa memerhati dan memberi teguran bagi memastikan pentadbiran negeri Johor dapat berjalan dengan baik

Sultan Johor akan sentiasa memerhati dan memberi teguran bagi memastikan pentadbiran negeri Johor dapat berjalan dengan baik

“Saya harap agar semua wakil rakyat yang ada di sini dapat menjaga adab ketika berbahas dan elakkan bercakap tentang isu-isu parti politik atau perkara-perkara sensitif berkaitan kaum dan agama,” titah Sultan Johor.

Atas dasar tanggungjawab, baginda juga akan sentiasa memerhati dan memberi teguran bagi memastikan pentadbiran negeri Johor dapat berjalan dengan baik, lancar dan teratur.

Selain itu, baginda turut mengingatkan agar tidak berbelanja melebihi hasil yang diterima dan kerajaan perlu memastikan agar ada lebihan hasil setiap tahun untuk dijadikan simpanan masa susah kelak.

Keluarga Diraja Johor disayangi ramai kerana sikap yang prihatin, peduli dan kasih kepada rakyat

Keluarga Diraja Johor disayangi ramai kerana sikap yang prihatin, peduli dan kasih kepada rakyat

Baginda juga bertitah kepada ahli dewan supaya menjaga tingkah laku dan tatatertib pakaian serta patuh kepada peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di dalam dewan.

“Saya menyeru kerajaan negeri supaya berusaha keras untuk menarik lebih banyak pelabur, terutama dari luar negara.

“Dasar kerajaan yang konsisten adalah perkara penting untuk menggalak dan mengekalkan pelaburan jangka panjang di negeri Johor ini,” titah Sultan Ibrahim.

-EM

Tinggalkan komen anda