
Laporan/foto: Sherley Emjus (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Laluan sejauh 8.22 kilometer untuk menuju ke puncak Bukit Mara Kara sememangnya sangat mencabar dan menguji ketahanan fizikal serta mental diri para pendaki.
Namun ini adalah sangat bersesuaian dengan slogan Mangkalahit, Monungkamang dan Mangkarakai yang disebut-sebut oleh pengunjung dan perlu ditempuhi oleh pendaki di sepanjang perjalanan tersebut.
Mangkalahit, Monungkamang dan Mangkarakai merupakan perkataan daripada suku kaum Dusun yang mempunyai maksud yang hampir sama iaitu merujuk kepada perlakuan pendaki yang keletihan sehingga tidak dapat melangkah dengan sempurna untuk mendaki Bukit Mara Kara.
Bukit Mara Kara yang berketinggian 641 meter terletak di Eko-Pelancongan Kampung (Kg) Sinalapak, Tamparuli telah dirasmikan pada 6 April 2019 mengambil masa kira-kira dua jam sahaja perjalanan dari bandar raya Kota Kinabalu.
Di Sabah sahaja, semakin banyak tempat mendaki baharu yang diterokai, antaranya ialah Bukit Janggut dan Bukit Kopungit memandangkan aktiviti rekreasi luar kini menjadi satu trend atau ikutan yang semakin diminati ramai terutama golongan mahasiswa.
Menurut Pengerusi Mara Kara Hill & Eco Tourism Kg. Sinalapak, Januin Johny, 31, Kampung tersebut pada asalnya ialah hutan tebal di mana kawasan tersebut merupakan habitat kera.
“Namun disebabkan tempat tersebut telah dijadikan perkampungan yang baharu oleh masyarakat Dusun, maka kera-kera tersebut terpaksa mencari tempat tinggal yang lain untuk didiami.
“Kera-kera tersebut telah berpindah ke tempat yang kini dikenali sebagai Mara Kara,” jelasnya semasa ditemu bual.
Perkataan Kara adalah sebutan bagi suku kaum bangsa Dusun yang membawa maksud Kera.
Manakala, Mara Kara bermaksud sekumpulan kera yang mengeluarkan bunyi, seolah-olah mereka sedang berkomunikasi antara satu dengan yang lain.
Di sepanjang perjalanan untuk menuju ke puncak, pendaki akan merentasi kawasan denai dan banyak tumbuhan menghijau serta beberapa kawasan yang sangat curam di mana pendaki perlu berhati-hati.
Menurut Januin lagi, di awal pendakian, pendaki akan menuruni bukit yang curam sebelum memulakan pendakian yang sebenar.
“Pendaki perlu berpaut pada tali yang disediakan oleh pihak pengurusan bagi mengelakkan mereka tergelincir semasa menuruni bukit.
“Mereka akan menuruni bukit sepanjang 2 kilometer untuk memanaskan badan sebelum memulakan pendakian bukit dari kilometer 4 sehingga ke kilometer 8.22,”ujar Januin lagi.
Perhentian pertama pada kilometer 1.29 iaitu Dundorongan Point adalah tempat pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian.
Pada perhentian kilometer 2 pula iaitu Bambangan Point merupakan kawasan sungai yang telah di ‘tagal’ di mana pendaki berpeluang untuk memberikan makanan kepada ikan di sungai tersebut yang disediakan oleh pihak pengurusan.
Tagal adalah istilah yang digunakan untuk larangan penangkapan ikan dalam kalangan masyarakat kaum Kadazan Dusun
Namun, untuk meneruskan perjalanan ke kilometer yang seterusnya pula, pendaki perlu mengharungi sungai tersebut dengan berpaut pada tali yang disediakan oleh pihak pengurusan untuk mengelakkan mereka dibawa arus deras.
“Kira-kira tiga kilometer kemudian, pendaki akan tiba di Tudan Kinoolidan dan seterusnya Mantaranau Camp Site pada kilometer ke 4 yang juga terdapat kawasan sungai sebagai tempat perhentian untuk makan tengah hari dan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke puncak.
“Sudah tentu pendaki dapat merasai sendiri kedinginan air sungai yang boleh ditemui di Sungai Mantaranau di samping menjadi tapak perkhemahan bagi pendaki yang ingin bermalam di kawasan tersebut,”kata Januin.
Kawasan Daradaat pada kilometer 4.8 pula merupakan kawasan yang mempunyai batu bersaiz besar berbanding kawasan lain sepanjang perjalanan tersebut.
Salah seorang pendaki, Carolinna Corlus, 33, menyatakan bahawa ini merupakan satu cabaran yang sangat menguji kekuatan fizikal.
“Saya terpaksa memanjat dan mengharungi batu-batu besar serta air sungai yang deras untuk meneruskan perjalanan tetapi batu-batu ini sangat menarik perhatian saya kerana saiznya yang besar boleh dijadikan tempat untuk merakamkan gambar kenangan,” katanya.
Bermula daripada kilometer 4.8 pendaki akan mendaki bukit sehingga ke puncak Bukit Mara Kara dengan melalui Perhentian kilometer 5 iaitu Nuluhan Rikos, kemudian kilometer 5.35 Puus Waterfall serta kilometer 6 Dalamas Waterfall menuju ke kilometer 7 iaitu Tudan Tuai.
Air terjun yang terdapat pada Gonipis, Puus dan Dalamas juga merupakan salah satu tarikan utama yang ada di Eko-Pelancongan ini yang mana kawasan air terjun tersebut sebagai tempat untuk beristirahat dan membersihkan diri.
Selain daripada trail mendaki, Bukit Mara Kara & Eko-Pelancongan Kampung Sinalapak turut menyediakan tapak perkhemahan untuk mereka yang ingin merasai pengalaman tinggal di pinggir hutan.
Bagi mereka yang minat mengambil gambar dan sukakan cabaran pula disyorkan untuk menjelajahi hutan di sekitar kawasan tersebut untuk merakamkan gambar flora dan faunanya yang unik dan menarik.
Manakala bagi pendaki yang ingin merasai suasana kehidupan kampung, mereka dapat merasai dan melihat sendiri bagaimana orang kampung menjalankan aktiviti kehidupan seharian mereka.
Para pendaki juga akan berpeluang untuk melihat pemandangan matahari terbit dan terbenam yang menakjubkan apabila tiba di puncak bukit Mara Kara.
Aktiviti mendaki sebenarnya dapat mewujudkan semangat berpasukan dengan saling bekerjasama untuk mengharungi cabaran pendakian.
Menurut salah seorang pendaki, Azlan Talib, 43, dengan melakukan aktiviti ini, mereka akan berkongsi apa sahaja yang mereka miliki untuk kegunaan bersama.
“Kebiasaannya setiap seorang daripada ahli kumpulan akan membawa makanan masing-masing dan akan berkongsi antara satu sama yang lain,” tambahnya.
Antara perkhidmatan lain yang disediakan adalah gerai-gerai jualan yang menjual makanan ringan, air mineral, minuman kopi pra campur dan banyak lagi.
Bagi pendaki yang tidak menggunakan kasut yang bersesuaian, pihak pengurusan telah menyediakan perkhidmatan menyewa kasut getah atau mereka boleh membeli terus kasut tersebut.
Tandas awam juga turut disediakan di Dewan Serbaguna Kampung Sinalapak di kilometer 4 bagi keselesaan pendaki.
Selain bukit Mara Kara, terdapat banyak lagi tarikan di Eko-Pelancongan Kg. Sinalapak, yang pastinya memukau para pengunjung yang datang.
Tidak dinafikan bahawa kebanyakan pendaki yang gemar mendaki sebenarnya adalah seorang yang cintakan alam semula jadi.
ER