Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Istiadat Pertabalan Sultan Abdullah Esok Jadi Tumpuan

By 29 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Esok, Malaysia sekali lagi akan menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila berlangsungnya Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Istiadat yang akan berlangsung di Istana Negara itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menjelang upacara penting itu, pelbagai persiapan diatur teliti bagi memastikan istiadat yang bakal menyingkap kebesaran raja-raja Melayu itu berlangsung sempurna.

Rata-rata rakyat di seluruh negara ternanti-nanti hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki takhta negara.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara hari ini mendapati sekitar laluan menuju ke pintu-pintu masuk Istana Negara telah dihiasi dengan poster dan kain rentang yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bagi menguar-uarkan kepada rakyat mengenai istiadat itu.

Antara kawasan berkenaan ialah di Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan dan Jalan Sri Hartamas.

Suri rumah, Junaidah Kamal, 50, ketika ditemui Bernama berkata beliau sekeluarga akan memastikan tidak terlepas menyaksikan acara bersejarah itu dan sudah membuat peringatan pada sistem dekoder televisyen di rumahnya.

“Sejujurnya saya amat teruja untuk menyaksikan istiadat itu. Saya akan pastikan anak-anak saya bangun awal pada Selasa ini supaya mereka dapat menonton acara bersejarah dan penting negara. Peristiwa penting ini bagus bagi mereka untuk mempelajari sejarah dan keunikan Malaysia yang mengamalkan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sempena istiadat itu, kerajaan telah mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi membolehkan rakyat di seluruh negara mengikuti acara tersebut.

Upacara itu akan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran-saluran televisyen tempatan bermula 9 pagi.

Istiadat Pertabalan Sultan Abdullah mencatat sejarah tersendiri apabila pasangan diraja itu masing-masing merupakan anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong ketujuh iaitu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (1979-1984) dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan (1984-1989).

Juga signifikan dalam istiadat itu ialah peranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri bertanggungjawab mengisytiharkan kedua-dua Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Sultan Iskandar sebagai Ketua Utama Negara pada ketika itu.

Sultan Abdullah, yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran raja-raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, menaiki takhta bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkuat kuasa 6 Jan lepas.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Jan lepas.

Seri Paduka melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda