Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Umpama Pahlawan Bawa, Edar Jalur Gemilang Seluruh Negeri

By 28 Ogos 2019Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

TENOM, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Melepasi hari ke tujuh, Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sabah anjuran Jabatan Penerangan Sabah, ternyata masih gagah meluncur meninggalkan daerah Tenom menuju laluan yang diatur untuk mengedarkan jalur gemilang.

Patrick ketika mengampaikan ucapan selepas ketibaan konvoi di daerah Tenom.

Patrick ketika mengampaikan ucapan selepas ketibaan konvoi di daerah Tenom.

Masih bersama Ketua Konvoi, Patrick Liang Ngau KMJG akan meneruskan perjalanan ke daerah Keningau, Tambunan dan lokasi terakhir di Pusat Transformasi Bandar Sabah (UTC) di Kota Kinabalu.

Menurut Patrick, beliau sememangnya berbangga diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai ketua konvoi bermula daripada daerah Lahad Datu, merasai sendiri denyut nadi dan pengalaman krew KMJG untuk mengedar dan mengibarkan bendera ke seluruh negeri.

Jeffson, Ishak dan Indah merakamkan kenangan bersama kereta jabatan yang memenangi pertandingan kereta berhias.

Jeffson, Ishak dan Indah merakamkan kenangan bersama kereta jabatan yang memenangi pertandingan kereta berhias.

“Krew KMJG ini umpama pahlawan-pahlawan yang membawa, mengedar dan mengibarkan jalur gemilang dengan menempuh pelbagai onak dan duri merentasi jalan yang berliku tidak mengira siang dan malam, panas dan hujan demi mencapai misi.

“Aspirasi kami jelas iaitu untuk menyemarak dan menggelorakan bulan kebangsaan, menyuntik semangat patriotisme dan melaungkan kata-kata keramat mengibarkan jalur gemilang sebagai tanda taat dan cinta kepada tanah air.

Kereta berhias gabungan tiga konsep yang menjadi johan pertandingan.

Kereta berhias gabungan tiga konsep yang menjadi johan pertandingan.

“Mendengar deklamasi sajak bertajuk ‘Negaraku Bebas Merdeka’ gandingan dua orang pelajar Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Nambayan, Tambunan bernama Awangku Shahrezah dan Ree Ratna Jaumin telah menyuntik semangat krew KMJG agar terus kuat dan tabah meneruskan perjalanan yang berbukit-bukau dari Tambunan merentasi Gunung Alap ke Kota Kinabalu.

“Walaupun tangan kiri adik Awangku Shahrezah telah cedera dan sedang berbalut, namun di dalam menahan kesakitannya dia tetap mendeklamasikan sajaknya umpama seorang pahlawan yang telah cedera dan bangkit berdiri meneruskan perjuangan sehingga ke titisan darah terakhir, “kongsi Patrick.

Sudut galeri yang dipamerkan di bahagian pintu kenderaan.

Sudut galeri yang dipamerkan di bahagian pintu kenderaan.

Tambahnya, penglibatan 69 kenderaan jabatan dan agensi serta 37 buah motosikal yang dihiasi jalur gemilang telah merancakkan lagi suasana sambutan KMJG.

“Perjalanan yang perlu meredah hujan yang lebat ketika menghampiri Kota Kinabalu tidak melemahkan semangat krew KMJG untuk sampai ke destinasi terakhir di UTC Kota Kinabalu.

Boneka kecil yang dipakaikan busana tradisi dan diletak diatas kenderaan

Boneka kecil yang dipakaikan busana tradisi dan diletak diatas kenderaan

“Pastinya pengalaman bersama menghadapi ranjau, susah dan senang telah merapatkan hubungan silaturahim di kalangan peserta konvoi yang terdiri daripada JaPen Sabah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) , Telekom Malaysia, POS Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),”ujarnya bangga.

Dalam pada itu, menyerikan laluan KMJG apabila sambutan di Tambunan dimeriahkan dengan kehadiran peserta Pertandingan Hiasan Bendera Tercantik Kategori Kenderaan Jabatan yang telah dimenangi oleh Hospital Tambunan.

Arthur (tengah) meraih johan Pertandingan Hiasan Bendera Tercantik Kategori Motosikal.

Arthur (tengah) meraih johan Pertandingan Hiasan Bendera Tercantik Kategori Motosikal.

Pastinya pengurusan Hospital Tambunan berbangga memiliki kakitangan seperti Jeffson Joseph, Trevor Tomy, Indah Junis dan Ishak Yusof yang tidak berkira mengeluarkan dana dari poket sendiri untuk menyertai pertandingan anjuran JaPen tersebut.

Menurut Jeffson, perancangan dan idea untuk menghias kenderaan tersebut mengambil masa satu minggu hasil buah fikiran mereka berempat, namun untuk menghiasnya hanya memakan masa dua hari sahaja untuk dilakukan.

Antara peserta yang mengiringi KMJG Sabah di Tambunan.

Antara peserta yang mengiringi KMJG Sabah di Tambunan.

Ideanya pula untuk menghias kereta ini berkonsepkan tiga dalam satu iaitu kereta dihias menggunakan bendera untuk sambutan hari kebangsaan, selain mempromosikan produk tempatan seperti wakit (bakul untuk mengangkat barangan), periuk kera, bunga Rafflesia dan barangan yang diperbuat daripada rotan dan konsep ketiga ialah galeri berkaitan hari kebangsaan.

“Peruntukan untuk menyertai pertandingan ini kami gunakan wang sendiri, bendera lama kami gunakan semula, dan bakul pula kami buat sendiri dengan kos keseluruhan kira-kira RM200.

Patrick menyerahkan bendera kepada wakil SMK Tambunan.

Patrick menyerahkan bendera kepada wakil SMK Tambunan.

“Apa yang menggembirakan ramai pesakit-pesakit dan orang ramai yang memuji saat melihat kereta ini siap dihias, malahan pengarah kami juga suka, lebih daripada itu ialah bagaimana cara kita menunjukkan rasa cinta serta menyambut hari kebangsaan.

“Saya turut mengajak ramai lagi penyertaan daripada agensi kerajaan dan swasta pada tahun-tahun akan datang agar semarak merdeka dapat dirasai bersama,”ujar Jeffson.

Pelajar SMK Tambunan merakam kenangan bersama Ketua Konvoi.

Pelajar SMK Tambunan merakam kenangan bersama Ketua Konvoi.

Dalam pertandingan tersebut, naib johan di menangi oleh Jabatan Perhutanan manakala tempat ketiga pula oleh Jabatan Kerja Raya.

Bagi Pertandingan Hiasan Bendera Tercantik Kategori Motosikal Johan dimenangi oleh Arthur Severinus manakala Pertandingan Hiasan Bendera Tercantik Kategori Pacuan Empat roda dan kenderaan awam diraih oleh Lazarus George.

Ketika sesi penyerahan bendera di UTC KK.

Ketika sesi penyerahan bendera di UTC KK.

Lokasi terakhir KMJG Sabah untuk hari ke tujuh ialah di UTC KK sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Signature Programme PMR@UTC dengan pelepasan oleh ADUN N.14 Likas, Tan Lee Fatt.

Hadir sama, ADUN Dilantik, Ronnie Loh; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Norzawiyah Bulka dan Ketua Jabatan UTC Sabah, Zahir Ridwan.

Program tersebut diadakan bagi menggelorakan semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan pengunjung dan warga kerja UTC Sabah yang mana Pusat Maklumat Rakyat, JaPen Sabah bertindak sebagai agensi pelaksana dalam menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang kepada semua agensi di UTC.

ER

Tinggalkan komen anda