Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Santuari Kelah Antara Keajaiban Tasik Kenyir

By 15 September 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlydiana Ishak (Putrajaya)/JPS Negeri Terengganu

TASIK KENYIR, 15 Sep (Malaysiaaktif) –  Berkunjung ke Tasik Kenyir tidak akan sempurna tanpa menjejakkan kaki ke Santuari Kelah yang terletak di Sungai Petang, Tasik Kenyir Hulu Terengganu yang menempatkan ribuan ikan kelah liar.

Santuari Kelah yang terletak kira-kira 21 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi menjadi destinasi pilihan Ekspedisi Sumber Air Negara pada kali ini yang memberi peluang kepada para peserta bermesra dengan ikan kelah yang juga dikenali sebagai ‘Raja Sungai’ oleh kebanyakan kaki pancing.

Para peserta dibawa menaiki bot laju kira-kira 40 minit dari jeti Pengkalan Gawi serta disajikan dengan panorama indah air tasik yang hijau, berlatarbelakangkan pemandangan bukit serta gunung yang tenang lagi mendamaikan dan memandangkan ikan kelah spesis haiwan dilindungi, para peserta terlebih dulu diwajibkan singgah ke Pos Kawalan Santuari Kelah untuk mendengar taklimat daripada pegawai bertugas.

Para peserta ekspedisi bergambar di pintu gerbang Santuari Kelah.

Para peserta ekspedisi bergambar di pintu gerbang Santuari Kelah.

Menuju ke lubuk dataran kelah yang menempatkan ribuan ikan kelah hitam dan hijau, para peserta perlu merentasi laluan batu dan jambatan gantung sambil didendangkan dengan pelbagai bunyi haiwan liar seperti rusa, burung, cengkerik, unggas dan tikus.

Salah seorang peserta ekspedisi, Ainul Mardziyyah, pembantu penyelaras EcoKnights berkata beliau berasa sangat berbaloi berjalan kaki merentas hutan sejauh lebih kurang 1600 meter, apabila dapat melihat ‘kemesraan’ kawanan ikan yang menyambut ketibaan
peserta ekspedisi yang menjadikan kunjungan ke sini satu kenangan sangat berharga.

“Sebaik tiba saya terus merendam kaki ke dalam air, ikan-ikan ini meluru datang dengan ‘menghadiahkan’ gigitan-gigitan mesra dan semakin dalam ditenggelami air semakin banyak yang datang.

“Mulanya ada rasa geli tetapi apabila sudah mula kenal perangai ikan-ikan di sini, rasa takut bertukar suka, sehinggakan seakan tidak mahu keluar daripada air sebab terlalu seronok bermain dengan ikan-ikan itu,” katanya.

Tambah Ainul lagi, yang paling menyeronokkan apabila peserta boleh mandi-manda sambil bermain, memberi mahupun mencium ikan kelah tersebut.

Para peserta Ekspedisi Sumber Air Negara di Santuari Kelah, Sungai Pertang.

Para peserta Ekspedisi Sumber Air Negara di Santuari Kelah, Sungai Pertang.

“Air sungainya yang sangat jernih, suasana yang sangat damai dan segar serta panaroma alam yang sangat cantik membuatkan saya teruja untuk datang ke sini lagi,” katanya lagi.

Ikan kelah hanya hidup di air sungai yang bersih, berenang melawan arus dan perlu penjagaan yang rapi di mana para pengunjung dilarang memberikan makanan lain selain palet khas yang boleh dibeli di kedai yang disediakan.

Memandangkan ikan kelah spesies terpelihara, pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menetapkan hanya 200 pelawat sahaja dalam masa sehari di mana 50 pelawat sahaja dibenarkan berada di dalam sungai dengan tempoh had masa 30 minit.

Pengalaman berada di Sungai Petang bersama ribuan kelah ini pasti meninggalkan seribu memori dan anda pasti akan terasa untuk kembali lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda