
Oleh: Mohd Zahid bin Othman
PASIR GUDANG, 12 Oktober (Malaysiaaktif) – Kira-kira 1,200 orang dari pelbagai kaum menghadiri Majlis Amal Sempena Pembangunan Kebudayaan Masyarakat India Permas Jaya malam tadi.
Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Johor Jaya itu dihadiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Permas Jaya.
Pada majlis ini juga, Khaled merasmikan penubuhan Pertubuhan Kebajikan dan Kebudayaan Masyarakat India Permas Jaya, selain menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 untuk pembangunan masyarakat India dan komuniti setempat.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dan Kebudayaan Masyarakat India Permas Jaya, En. S. Kanthavel, pertubuhan ini telah aktif beroperasi sejak empat tahun yang lalu dengan melakukan aktiviti kebajikan, seperti program pelajar angkat dan ceramah pendidikan untuk pelajar India di kawasan Permas Jaya dan sekitar Pasir Gudang.