
Oleh Syuhada Yasin (Kedah)
ALOR SETAR, 12 Oktober (Malaysiaaktif) — Negeri Kedah kehilangan seorang lagi ulama apabila Allahyarham Datuk Syeikh Abd Hamid Md Tahir meninggal dunia semalam.
Ramai yang menganggap kematian allahyarham satu kehilangan besar kepada negara secara umum dan rakyat negeri Kedah, khususnya kerana beliau merupakan ulama yang tidak pernah mengenal erti penat dalam menyebarkan ilmu dan dakwah.
Di hujung hayat, keuzuran tidak menghalang beliau meneruskan usaha dakwah dengan mengarang buku-buku agama, seperti mana fokusnya sewaktu mengajar di institusi pengajian dahulu.
Allahyarham merupakan seorang yang diiktiraf sebagai pemikir Islam yang hebat sehingga beliau dilantik menjadi Ahli Fatwa Negeri Kedah dan secara langsung berbakti menyumbang kepada kepentingan ummah. Beliau juga turut menyampaikan kuliah petang di Radio Kedah FM.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin, “Kita baru saja kehilangan seorang ulama besar, Almarhum Datuk Murshid Di-Raja Syeikh Abdul Majid bin Mohd Noor; kini Datuk Syeikh Abdul Hamid pula menyusul.”
Beliau berharap agar sumbangan besar kedua tokoh ini dalam bidang pendidikan, pengembangan ilmu Islam dan dakwah dapat dicontohi oleh generasi sekarang.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Ghufran, Jalan Pegawai, Alor Setar pada pukul 10.00 pagi tadi. Bekas-bekas pelajar Maktab Mahmud dan pelajar-pelajar Kuliah Datuk Sheikh seluruh Kedah hadir memberikan pengormatan terakhir kepada Allahyarham.