
Oleh Mohd Zahari Zakaria,Hanafi Sariman & Azrul Hasan (Pulau Pinang)
BUKIT MERTAJAM 20 Okt(Malaysiaaktif) — Pembinaan jejambat menghubungi Jalan Nangka dengan Jalan Perda Timur di sini antara usaha untuk memanfaatkan penduduk setempat.
Pembinaan ikhsan Kerajaan Persekutuan ini memudahkan penduduk melintas untuk ke sekolah dan masjid di kawasan Padang Lalang.
Laluan ini terletak di Daerah Seberang Perai Tengah berhampiran Bandar Perda dan Bukit Mertajam. Ia dibina berikutan Projek Pembinaan Landasan Berkembar Kereta Api Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.
Dalam taklimat tentang pembinaan jejambat tersebut pagi tadi, Pengarah Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, A. Manivel a/l Asiah berkata projek akan mengambil masa 51 bulan untuk disiapkan berbanding jangkaan terdahulu, iaitu 30 bulan. Ini menurut beliau disebabkan masalah pengambilan tanah, perpindahan utiliti dan cadangan menambah baik ‘ramp.’
Manivel juga berkata sebanyak 27 lot tanah dengan jumlah keluasan 2.1 hektar bernilai RM19.6 juta dibayar sebagai pampasan kepada pemilik, sementara pengambilalihan satu lot lagi sedang didengar di mahkamah berikutan bantahan penduduk Kampung Permatang Rawa dengan pampasan yang perlu dibayar sebanyak RM1 juta.
Katanya lagi jejambat boleh digunakan sepenuhnya awal tahun depan walaupun sejak dibuka secara berperingkat pada Februari lalu, ia telah digunakan oleh orang ramai untuk ke Bandar Perda dan Padang Lalang.
Turut hadir pada taklimat pagi tadi, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, dan Pegawai-pegawai Persekutuan.