
Laporan/foto: Farah Diana, FB Sulaiman Md Ali (Melaka)
MELAKA, 29 Apr (Malaysiaaktif)– Hikmah dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah mengurangkan pelbagai aktiviti manusia membuatkan air Sungai Melaka menjadi jernih kebiruan dan telah tular di media sosial.
Keadaan ini berlaku kerana tiada aktiviti – aktiviti seperti sebelum penularan pandemik Covid-19 yang berlaku di sepanjang Sungai Melaka akibat PKP.
Selain itu, aktiviti di hulu sungai Melaka juga tidak rancak berlaku serta perjalanan bot-bot persiaran yang menggunakan bahan bakar petrol dan sistem penyejukan enjin yang telah menjadi punca kepada pencemaran sungai juga tidak beroperasi.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, terdapat beberapa idea penambahbaikan yang boleh dibuat untuk membantu mengekalkan lagi kejernihan air di Sungai Melaka.
“Saya amat berharap tahap kebersihan dan keindahan lokasi-lokasi pelancongan di negeri Melaka dapat terus dikekalkan bukan sahaja sepanjang tempoh PKP, malah pada masa-masa yang akan datang.”
Katanya lagi, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka telah diarahkan supaya menjadikan agenda meningkatkan tahap keindahan, kebersihan dan keceriaan kawasan pentadbiran masing-masing sebagai satu keutamaan.
“Semoga Negeri Melaka dan Bandaraya Melaka khususnya dapat muncul sebagai negeri atau bandar yang paling bersih di negara ini seperti yang pernah dicapai sebelum ini,” ujarnya lagi.
-KN