Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Mangsa Banjir di Empat PPS LMS Kini Dibenarkan Pulang

By 12 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Norzila Dollah (LMS)

TAIPING, 12 Mei ( Malaysiaaktif ) – 50 orang mangsa banjir di Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila pusat yang dibuka malam kelmarin itu kini ditutup secara rasmi pada pukul 5 petang semalam.

Empat PPS tersebut adalah Masjid Batu 8, Dewan Batu 8, dan Surau Kg Paya Dalam di Changkat Jering, serta Surau Masjid Jamek, Kg Relang, Batu Kurau.

Menurut Penghulu Mukim Matang Nasaruddin Mawi, banjir yang berlaku adalah berpunca daripada hujan lebat tanpa henti lebih kurang pukul 2 petang sehingga 8 malam kelmarin.

Keadaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Kampar.

Keadaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Kampar.

“Kita telah mengarahkan penduduk supaya berpindah segera kerana bimbang kejadian buruk berlaku pada waktu malam,” katanya.

Nasaruddin menjelaskan sebanyak tujuh buah keluarga dari Mukim Matang yang terlibat dibenarkan pulang berikutan keadaan cuaca semakin baik dan air mulai surut.

“Mereka tetap diingatkan agar lebih bersedia jika berlaku hujan tanpa henti dan banjir kembali melanda,” ulasnya.

Walaubagaimanapun, sebuah lagi PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Changkat Ibol masih belum ditutup dengan 16 orang mangsa masih berada di pusat pemindahan tersebut.

Petugas menyediakan barang keperluan asas yang akan diserahkan kepada mangsa banjir.

Petugas menyediakan barang keperluan asas yang akan diserahkan kepada mangsa banjir.

Sementara itu di Kampar, dua buah PPS iaitu Kg Tebing Tinggi dan Kg Tersusun Batu 20 masih beroperasi memandangkan keadaan banjir belum surut dan hujan masih turun petang semalam.

Pegawai Penerangan Daerah Kampar Azalina Abdullah, berkata pusat berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kampar bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta agensi-agensi berkaitan.

“Sebanyak 20 orang mangsa ditempatkan di dua buah PPS berkenaan dan segala keperluan disediakan buat mereka,” katanya ketika membuat tinjauan tengahari semalam.

Tinggalkan komen anda