
Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin (Melaka)
MELAKA, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka telah melancarkan Kempen ‘Dream Now, Travel Later’, dan Aplikasi Pelancongan Rasmi Negeri Melaka iaitu “Melaka eXcess” sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan di negeri Melaka dan membantu pemain industri pelancongan untuk bangkit semula selepas terjejas dan terkesan dengan pandemik COVID-19.
Menurut kenyataan media Kerajaan Negeri Melaka, Sungai Melaka Ventures Sdn Bhd (anak syarikat Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka) telah menjalinkan usahasama dengan sebuah syarikat swasta, Pilihan Lampiran Sdn Bhd sebagai pembekal teknologi, memperkenalkan aplikasi ‘Melaka eXcess’ yang juga akan menjadi medium utama transaksi tanpa tunai (cash free) bagi negeri Melaka.
“Aplikasi ‘Melaka eXcess’ bukan sahaja menjadi platform kepada pelancong untuk mendapatkan pelbagai promosi hebat produk-produk pelancongan domestik, tetapi juga sebagai platform kepada orang ramai untuk berdaftar sebagai merchant dan mengembangkan perniagaan masing-masing secara dalam talian yang kini merupakan pilihan utama rakyat Malaysia.
“Kerajaan Negeri Melaka amat yakin bahawa medium baharu ini dapat menjadi pemangkin kepada pemain industri pelancongan di Melaka untuk kembali merancakkan semula sektor pelancongan domestik, sekaligus meningkatkan ekonomi negeri Melaka secara keseluruhan,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Kerajaan negeri yakin dengan usaha dan pendekatan baharu yang dilaksanakan ini mampu memberi impak dan melonjakkan semula sektor pelancongan domestik yang menjadi nadi utama negeri Melaka selain menjadi permulaan kerjasama yang baik antara pihak Kerajaan Negeri Melaka, syarikat swasta serta rakyat negeri Melaka keseluruhannya.
“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalaui Google Play atau Appstore di telefon pintar masing-masing. Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web www.dntlmelaka.com.my. Pengguna juga akan menerima RM10 pulangan kredit secara percuma,” menurut kenyataan itu lagi.
-KN