PUTRAJAYA, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Mayat seorang lelaki dipercayai telah meninggal dunia lebih dari sehari ditemukan berhampiran jejantas pejalan kaki di E18 Lebuhraya Kajang SILK, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis menerima panggilan kira-kira 8.40 pagi daripada orang awam yang menemukan mayat itu, ketika melintas jejantas berkenaan.
“Pemeriksaan pasukan Forensik Bukan Aman kemudiannya mendapati mayat itu tertiarap atas tanah, dalam semak di tepi jejantas itu. Bagaimanapun tiada tanda kecederaan fizikal pada badannya dan mangsa lengkap berpakaian seluar jeans dan kemeja-T hitam.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemukan bersama lelaki itu,” kata Mohd Zaid dalam kenyataan, semalam.
Mayat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis atau pegawai penyiasat, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804.
— BERNAMA








