
PUTRAJAYA, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Belanjawan 2021 dilihat amat penting bagi menentukan kebangkitan semula kehidupan dan ekonomi rakyat serta negara.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor beranggapan bahawa belanjawan ini amat mengambil kira kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat serta negara dalam menghadapi keadaan yang mencabar ini.
“Belanjawan 2021 adalah satu belanjawan yang memberi fokus kepada pekerja yang terkesan dan ‘tenat’ di apa jua bidang,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Katanya, demi kelangsungan hidup, mereka yang terkesan terutama yang kehilangan pekerjaan amat mengharapkan untuk mengeluarkan sejumlah wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021.
Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid berkata Belanjawan 2021 amat dialu-alukan oleh penggiat kreatif negara kerana ia memberikan sinar harapan kepada kesinambungan industri itu.
“Tahun 2021 adalah tahun kritikal dalam pemulihan ekonomi yang terkesan oleh pandemik COVID-19… Belanjawan 2021 dapat memulihkan ekonomi negara secara keseluruhan, termasuk ekosistem industri kreatif negara,” katanya.
Beliau berkata bagi FINAS sendiri, kelulusan Belanjawan 2021 amat penting supaya program-program yang telah dirancang dapat dilaksanakan tanpa halangan, seterusnya membuka peluang pekerjaan dan pendapatan kepada setiap lapisan penggiat seni kreatif negara.
“Ramai petugas belakang tabir yang terjejas pendapatan pada tahun ini disebabkan penangguhan penggambaran filem di lokasi, maka kelulusan belanjawan amat perlu untuk kelangsungan industri ini,” katanya.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari berkata kesemua inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021 yang merupakan satu belanjawan pengembangan atau “expansionary” adalah amat bertepatan dengan keadaan sekarang apatah lagi kesan wabak COVID-19 akan terus dirasai pada tahun hadapan.
“Kerajaan juga dapat memberi peluang kepada masyarakat nelayan termasuk golongan isteri dan belia nelayan dalam menceburi bidang penghasilan produk makanan melalui pinjaman ataupun pendahuluan modal perniagaan,” katanya dan menambah Belanjawan 2021 akan membantu keseluruhan sektor ekonomi termasuk pengusaha agromakanan untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata apa-apa yang dapat meningkatkan mutu profesionalisme pendidikan awal kanak-kanak memang perlu dan penting untuk diluluskan.
“Peruntukan untuk KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) juga adalah bagus kerana masih banyak taska KEMAS yg perlu dinaik taraf,” katanya.
— BERNAMA