Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

SPAN Terus Pantau Bekalan Air di Negeri Dilanda Banjir

By 12 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Infografik KASA

PUTRAJAYA, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terus memantau rapi keadaan bekalan air terutamanya bagi negeri-negeri yang dilanda banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata untuk negeri Pahang daripada sejumlah 31 buah loji rawatan air (LRA) yang terkesan akibat banjir, hanya tiga buah iaitu dua di daerah Bera dan satu di daerah Maran yang masih belum beroperasi.

“Di negeri Kelantan pula terdapat satu LRA terjejas iaitu di Tualang 2 yang mula ditutup 9 Januari lalu dan melibatkan 1,500 akaun pengguna, manakala Terengganu dan Johor tidak merekodkan sebarang gangguan LRA.

“SPAN telah menyelaras bantuan daripada tujuh operator air untuk membekalkan 20 lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, kerajaan telah meluluskan projek pembangunan berkaitan tebatan banjir di seluruh negara kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.029 bilion sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 dengan peruntukan sebanyak RM559 juta bagi tahun 2021.

“KASA menerima peruntukan sebanyak RM57.3 juta bagi 15 projek mencegah hakisan pantai dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM838.6 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut memaklumkan keadaan cuaca di semenanjung Malaysia bertambah baik.

“Kemungkinan untuk berlaku banjir monsun lagi sudah berakhir, walau bagaimanapun, banjir yang sedia ada mungkin mengambil sedikit masa lagi untuk surut sepenuhnya memandangkan air pasang besar dijangka berlaku pada esok (13 Januari) dan ombak besar dijangka akan berterusan di Laut China Selatan untuk beberapa hari lagi.

“Keadaan cuaca buruk yang berlaku di utara Sabah sekarang dijangka berterusan sehingga hari ini, manakala bagi Sarawak, keadaan cuaca lembab dijangka akan berterusan sehingga bulan Februari 2021,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda