
Laporan/foto: Luqman Hakim/Fuad Abdullah (Petaling)
SERDANG, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0) kini boleh menempatkan 10,000 pesakit positif COVID-19 kategori satu (positif tetapi tiada gejala) dan dua (positif ada gejala ringan) bermula 18 Januari ini.
Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya akan menubuhkan ‘Intergrated Maeps 2.0’ iaitu pesakit pada kategori tiga (radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen), empat (radang paru-paru dan memerlukan oksigen) dan lima (memerlukan bantuan pernafasan) dalam jumlah tiga puluh pesakit ditempatkan sebelum dihantar ke Hospital Serdang atau hospital lain.
“Ini merupakan strategi baharu PKRC MAEPS 2.0 berdasarkan tempat ini kondusif dan munasabah berbanding tempat-tempat lain.
“Tiada ada apa-apa kelemahan yang perlu ditimbulkan kerana persiapan ini telah dirangka dengan begitu teliti,” katanya.
Adham turut memaklumkan bilangan petugas di PKRC MAEPS 2.0 ini akan dipertingkatkan dari semua agensi terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menempatkan pakar dalam mengendalikan mesin pernafasan dan rawatan rapi.
“Proses rawatan COVID-19 di negara kita memerlukan strategi ‘step down care’ yang mana pesakit pada kategori empat dan lima di yang sembuh lebih awal akan dibawa ke PKRC MAEPS 2.0 kerana ada dalam kalangan pesakit kategori kritikal sembuh lebih awal.
“Di sini juga kita menerima pesakit-pesakit kategori satu dan dua dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang selain Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya semasa sidang media selepas lawatan kerja ke PKRC MAEPS 2.0 hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
-SH