
Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah bermula hari ini bagi sesi persekolahan tahun 2021 di seluruh negara.
Menurut Yusof Ahmad, 44, bapa kepada pelajar yang menjalani PdPR, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah ketika negara sedang berperang dengan pandemik COVID-19 ini adalah sangat wajar kerana ia bukan sahaja dapat memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 tetapi juga dapat memastikan mereka tidak tercicir dalam proses pembelajaran.
“Dengan adanya teknologi moden seperti telefon pintar dan talian internet, anak-anak dapat belajar di rumah mengikut silibus yang telah ditetapkan oleh kementerian pendidikan.
“Kini, kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu, dalam menghadapi pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui di Kampung Semerah Batu Pahat, di sini hari ini.
Muhamad Syafiq Mohd Yusof, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru Muar yang ditemui berkata semangat untuk belajar tetap terus membara walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Tahun ini sekali lagi saya belajar secara atas talian dari rumah dengan menggunakan telefon pintar yang dibeli pada tahun lepas.
“Dengan adanya kemudahan telefon dan talian internet saya bukan sahaja dapat meneruskan sesi pembelajaran tetapi juga dapat berhubung dengan cikgu-cikgu dan rakan-rakan,” ujarnya.

“Guru-guru sentiasa memberi maklumat mengenai PdPR ini melalui kumpulan what’s app,” ujar Nurul Syuhadha
Tambah beliau, walaupun suasana belajar di rumah agak menyenorokkan namun ia tidak dapat menandingi suasana pembelajaran secara bersemuka di sekolah bersama rakan-rakan.
Sementara itu, Nurul Syuhadha Nazeefah Mohd Yusof, 9, pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Utama Batu Pahat yang ditemui berkata guru-guru sentiasa memberi maklumat mengenai PdPR ini melalui aplikasi whatsapp.
“Hari ini saya memulakan sesi pembelajaran Bahasa Melayu dalam suasana norma baharu.
“Walaupun belajar secara dalam talian di rumah namun semangat untuk terus berjaya tetap utuh dalam diri saya,” ujarnya.
Pelaksanaan PdPR mendapat pelbagai pandangan namun kaedah ini merupakan satu usaha kerajaan dalam menangani pandemik yang sedang melanda negara yang mana kejayaan pelaksanaannya perlu mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya para guru, ibu bapa dan penjaga.
Kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka di mana hanya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi tahun 2020 sahaja yang dibenarkan ke sekolah.
-NI-