
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatat 4,008 kes harian COVID-19, angka harian kedua tertinggi selepas Sabtu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata jumlah itu melibatkan 4,003 kes tempatan dan lima kes import sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 169,379.
Katanya, Selangor kekal dengan catatan kes tertinggi iaitu 1,391 kes diikuti Kuala Lumpur (513), Johor (470), Sabah (406), Sarawak (203), Negeri Sembilan (176), Perak (170), Kedah (142), Melaka (132), Pulau Pinang (124) dan 121 kes di Kelantan.
“Baki negeri lain pula mencatatkan dua angka iaitu Terengganu, 81 kes, Pahang (52), Putrajaya (23) manakala Perlis, tiga kes dan Labuan, satu kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Sabtu lalu, Malaysia pertama kali merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 4,029 kes baharu jangkitan sepanjang pandemik itu melanda negara.
“Sebanyak 2,374 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 127,662 kes atau 75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.
Dr Noor Hisham juga berkata terdapat 246 kes positif COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 96 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.
Selain itu, 11 kematian akibat COVID-19 dilapor ini melibatkan sembilan warganegara dan dua bukan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara sebanyak 630 kes.
— BERNAMA