Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Projek Akhir Pelajar PTSS Bantu Pengusaha SME

By 20 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shameelawati/Mohd Zulfabli (PTSS) 

PAUH, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Projek The Kaizen of Multipurpose Rack Based on Lean Manufacturing Concept merupakan salah satu kerjasama antara Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Anaqah Exclusive bagi membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha kedai jahitan itu sekaligus mampu meningkatkan produktiviti operasi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), projek ini merupakan platform terbaik untuk para pelajar mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang telah mereka pelajari.

“Anaqah Exclusive adalah sebuah perusahaan kedai jahit yang beroperasi secara pengeluaran besar-besaran di Taman Jejawi Perlis dengan tenaga kerja seramai tujuh orang.

“Pengusahanya, Atikah Arshad telah menyuarakan kesukaran untuk mencari baju yang telah siap dan mempunyai masalah untuk menyimpan kain gulung berikutan rak sedia ada tidak sesuai untuk diletakkan di ruangan kerja yang sempit dan terhad,” menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini.

Di bawah seliaan Pensyarah Mohd Zulfabli Hasan, para pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal telah membuat tinjauan dan pemerhatian di kedai tersebut.

“Para pelajar telah merekabentuk rak serbaguna dengan menggunakan konsep Lean Manufacturing bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh syarikat tersebut.

“Konsep Lean Management di PTSS ini menggunakan alatan Lean Manufacturing seperti kaizen dan standard work dalam membangunkan projek tersebut,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan dalam kenyataan tersebut turut menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada pensyarah dan semua para pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang terlibat iaitu Nurul Atira Yusri, Nur Emilia Darusomin, Nabil Qusyairi Shamsul Azman dan Muhammad Ibtisam Abdul Latif di atas usaha dan inisiatif yang ditunjukkan dalam menghasilkan projek akhir yang mampu membantu para pengusaha SME.

-NI-

Tinggalkan komen anda