Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Program Sentuhan Jiwa Bina Keseronokan Pembelajaran PdPR

By 21 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Azrul Anuar (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Dalam usaha membina keseronokan pembelajaran melalui kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah telah menganjurkan Program Sentuhan Jiwa dalam memangkin dan menyemarakkan semangat para pelajar terutamanya pelajar Tahap Satu bagi sesi persekolahan 2021.

Langkah permulaan program tersebut adalah mengadakan pengedaran bahan pembelajaran secara pandu lalu yang bertujuan untuk memudahkan pelajar yang mempunyai masalah capaian internet.

Menurut Guru Besar SK Kuala Pilah Mohd Sahib Rahmat, penekanan konsep begini menjadi teras para pendidik di sini agar setiap pelajar merasakan sentuhan bersemuka masih dapat dirasai walaupun dilakukan secara maya.

“Suasana pembelajaran maya yang kondusif dapat dibina terutamanya dalam memastikan setiap murid terutamanya mempunyai semangat untuk hadir ke sekolah setelah suasana pandemik COVID-19 menjadi reda dan berkurang.

“Antara kaedah yang diterapkan dalam program ini ialah konsep bertanya khabar melalui telefon, sesi bicara santai yang bertujuan menggalakkan para pelajar berkongsi cerita dan sebarang permasalahan pembelajaran yang berbangkit serta turut memberi tumpuan kepada konsep rohani dan moral,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, di sini baru-baru ini.

Tambah Mohd Sahib, murid-murid turut dapat mengekalkan momentum pembelajaran di rumah terutamanya bagi keluarga yang mempunyai kekangan peranti digital.

“Hasil usaha bersama guru dan ibu bapa melalui pendekatan sebegini dapat membantu dalam memastikan setiap anak-anak mendapat pendidikan yang baik dan sentiasa kekal seronok untuk belajar,” katanya.

-AK

Tinggalkan komen anda