
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Maherah Marina Mahusin (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Orang ramai kembali bekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tinjauan di Pasar Bukit Besar dan sekitar bandar Kuala Terengganu pagi semalam mendapati orang ramai lebih tenang menghadapi PKP 2.0 dalam menjalankan urusan jual beli dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Peniaga Pasar Bukit Besar Khatijah Yusof, 49, berkata beliau menerima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini dengan hati yang terbuka memandangkan kes jangkitan COVID-19 di sini semakin meningkat saban hari.
“Bagi pendapat saya, terdapat sedikit perbezaan PKP yang lalu dengan PKP kali ini kerana PKP yang lalu, orang ramai hanya tertumpu di kawasan pasar bagi mendapatkan bekalan makanan menyebabkan sedikit kesesakan berlaku di kawasan pasar.

Peniaga Pasar Bukit Besar, Khatijah Yusof, 49 menerima PKP 2.0 dengan hati yang terbuka memandangkan berlaku peningkatan kes jangkitan COVID-19.
“Namun begitu, kali ini kurang berlakunya kesesakan di kawasan pasar memandangkan banyak premis perniagaan makanan yang dibenarkan beroperasi berbanding PKP yang pertama dahulu,” katanya.
Katanya, para peniaga boleh menjana ekonomi dalam tempoh PKP 2.0 dan meneruskan kelangsungan hidup di samping pelbagai bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI) tempoh hari memberi sedikit kelegaan buat mereka.
“Dalam masa yang sama saya berharap orang ramai yang berkunjung ke pasar ini perlulah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar kita dapat kurangkan jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” katanya.
Bagi pengusaha gerai pisang goreng di pasar tersebut, Roslan Omar, 49 berasa sangat bersyukur apabila kerajaan membenarkan peniaga makanan beroperasi sepanjang tempoh PKP 2.0 biarpun pendapatan sedikit berkurangan berbanding sebelum PKP dilaksanakan.
“PKP 2.0 adalah langkah yang terbaik yang pihak kerajaan ambil untuk melandaikan keluk kes positif COVID-19 seterusnya memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Pengusaha gerai pisang goreng, Roslan Omar, 49 berasa sangat bersyukur apabila kerajaan membenarkan peniaga makanan beroperasi sepanjang tempoh PKP 2.0.
“Peniaga seperti saya juga mengharapkan penularan COVID-19 ini akan berlalu secepat mungkin untuk kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Orang awam yang ditemui Mohd Jefri Abd Rahman, 54, berkata langkah yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan dengan mengumumkan PKP 2.0 kali ini amat tepat pada waktunya.
“Sebagai rakyat kita perlu akur dengan arahan ini dan kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Mohd Jefri Abd Rahman, 54, berkata langkah yang dibuat oleh kerajaan persekutuan mengumumkan PKP kali ini amat tepat pada waktunya.
“Jika kita gagal memberikan kerjasama dengan pematuhan SOP, pastinya kita akan menyumbang kepada peningkatan kes dan sebagai rakyat kita perlu mensyukuri sedikit kelonggaran yang diberi oleh pihak kerajaan terhadap PKP kali ini dengan membenarkan sektor ekonomi berjalan seperti biasa tertakluk kepada SOP yang ditetapkan,” ujarnya.
-ii-