
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Khairul Nazrie Mat Nayan (Kinta)
IPOH, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menzahirkan sekalung tahniah kepada Daerah Kinta yang berjaya mencatatkan jumlah daerah tertinggi penerima suntikan vaksin COVID-19 sehingga kini semalam.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berskala besar di bandar raya Ipoh pada fasa ketiga yang akan melibatkan lebih ramai penerima vaksin.
“PPV Stadium Indera Mulia hanya mampu menampung penerima suntikan vaksin sehingga 1,400 orang sehari,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di PPV Stadium Indera Mulia, di sini semalam.
Menurut Khairy, kapasiti PPV Stadium Indera Mulia sekarang ini hanya menyediakan 12 kaunter suntikan pemberian vaksin kepada penerima vaksin.
“Lokasi PPV yang lebih luas diperlukan bagi menampung kapasiti yang lebih besar dengan kemungkinan mampu menampung kira-kira 5,000 orang.
“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan pemberian vaksin kepada rakyat diselesaikan pada tahun ini juga maka PPV berskala besar amat diperlukan,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming dan Pegawai Daerah Kinta Meor Hezbullah Meor Abd Malik.
-RJ