Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

1,302 Kes Baharu, 1,127 Sembuh, Empat Kematian

By 29 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha mengawal jangkitan COVID-19 apabila kes baharu harian wabak itu kekal berada di bawah angka 2,000 dengan 1,302 kes selain empat kematian dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 1,127 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kes pulih kini 326,309, manakala kes aktif pula sebanyak 14,380.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini (Ahad), 1,293 adalah penularan tempatan dan sembilan kes import, selain 169 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 76 individu menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, semalam.

Sarawak mencatat kes harian tertinggi dengan 426 kes diikuti Selangor (256), Pulau Pinang (212), Johor (176), Kuala Lumpur (58), Sabah (38), Kelantan (34), Pahang (32), Kedah dan Perak masing-masing 23, Negeri Sembilan (sembilan), Labuan (enam), Melaka (lima), Terengganu dan Putrajaya masing-masing dua, manakala tiada kes dilapor di Perlis hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan kesemua kematian yang dilapor semalam, membabitkan warganegara berusia lingkungan 63 hingga 77 tahun dengan masing-masing mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Selain itu, beliau berkata terdapat tiga lagi kluster dikesan semalam masing-masing melibatkan kluster di tempat kerja (Kluster Ladang Sungai Pelek, Selangor), kluster pusat tahanan (Kluster Pagar Bukit Chagar, Johor) dan kluster komuniti iaitu Kluster Patek di Kelantan.

“Pertambahan kluster baharu menjadikan jumlah kluster di Malaysia sebanyak 1,347 dengan 381 daripadanya masih aktif manakala 14 kluster diisytiharkan tamat hari ini (Ahad),” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda