
Laporan/foto: Suzaima Ibrahim/Anas Amieru (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 14 April (Malaysiaaktif) – Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), komited dukung inspirasi dan visi organisasi berteraskan kebajikan keluarga dan anak-anak ahlinya.
Pengerusi BAKAT Rejimen ke-6 Artileri Diraja (6 RAD) Norasmaliana Zainal, berkata bertepatan dengan slogan ‘Bersama Berbakti’, BAKAT memainkan peranannya sebagai nadi penggerak dan perangsang kepada perjuangan suami sebagai anggota angkatan tentera.
Jelasnya, BAKAT merupakan sebuah persatuan yang dianggotai oleh isteri-isteri anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanggungjawab menjaga kebajikan serta merapat dan menyatupadukan ahli-ahli melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah.
“Sepanjang tahun lalu, banyak aktiviti yang dirancang tidak dapat dilaksanakan disebabkan negara mengalami pandemik COVID-19 namun BAKAT 6 RAD telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik dalam apa jua pertandingan yang dianjurkan di peringkat 5 Divisyen mahupun di peringkat 5 Briged sebelum ini,
“Dengan prestasi yang ditunjukkan dan komitmen yang baik serta sikap keprihatinan dan kerjasama erat dari semua ahli BAKAT 6 RAD adalah diyakini setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan jayanya pada tahun ini,” ujarnya.
Tambah Norasmaliana, antara peranan BAKAT adalah membantu ahli-ahlinya untuk menjana pendapatan sampingan.
“Pada tahun ini kita telah merancang untuk menganjurkan program BAKAT 2.0 memandangkan pada tahun lepas kita tidak membuka gerai jualan dalam kem sempena bulan Ramadan disebabkan oleh pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan oleh kerajaan.
“Namun pada tahun ini program BAKAT 2.0 diwujudkan bagi menghimpunkan aktiviti jualan atas talian sebagaimana aktiviti yang telah berjalan sekarang ini iaitu kelas jahitan dalam talian dan juga jualan amal sebagai usaha kepada ahli-ahli BAKAT untuk mendalami norma baharu bidang keusahawanan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Mesyuarat Agung BAKAT Rejimen ke-6 Artileri Diraja, di Dewan Tengku Anis Kem Lok Kawi, di sini baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis ialah Penolong Pegawai Memerintah Rejimen ke-6 Artileri Diraja, Mejar Samsul Kamal Abu Zarim serta Pegawai Penasihat BAKAT Rejimen ke-6 Artileri Diraja, Mejar (KM) Rosidi Jaofor.
-RI